Sabtu, 25 Oktober 2014

Kita tidak ada masalah pendatang, masalahnya ialah yang mempunyai mentaliti pendatang



Tindakan Parti Gerakan menggantung keahlian seorang perwakilan yang memainkan isu ‘pendatang’ dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini sebagai satu tindakan yang patut menjadi contoh kepada parti-parti lain yang masih terlalu bebas menggunakan isu pendatang dan yang bukan pendatang akhir-akhir ini.

Mana-mana pihak yang menganggap Melayu juga sebagai pendatang itu merupakan satu usaha yang cuba membuat ‘equation’ yang Melayu dan bangsa lain itu semuanya pendatang. Melayu bukan pendatang kerana mereka adalah rakyat yang dari dulu adalah rakyat yang dari ‘Malay archipelago’ yang merentasi sehingga ke Filipina Selantan dan Indonesia dan kawasan-kawasan yang berhampiran.

Dulu kaum Cina dan India itu adalah pendatang tetapi setelah negara mencapai kemerdekaan mereka diberikan kerakyatan hasil dari rundingan di antara pemimpin-pemimpin berbagai kaum yang mendiami negara ini termasuk yang datang dari negara China dan India. Setelah merdeka mereka ini bukan lagi pendatang kerana mereka sudah diberikan kerakyatan oleh negara ini dan bersama-sama mendiami dan hidup dalam negara ini dengan bersatu padu merentasi cara hidup dan agama serta budaya masing-masing.

Maka adalah tidak wajar ada di antara kita yang menuduh pihak yang lain sebagai pendatang di negara ini. Itu adalah pengakuan yang termaktub di dalam Perlembagaan negara kita, malah ada di antara mereka yang dari keturunan pendatang ini juga menjadi pemimpin negara kita.

Tetapi apa yang masih ada dan kekal bagi setengah dari mereka yang datang dari keturunan pendatang ini mempunyai ‘mentaliti pendatang’ (migrant mentality) walaupun mereka tidak lagi tergulung kepada apa yang disebut oleh setengah pemain politik sempit sebagai pendatang. Mereka sudah menjadi rakyat bagi negara ini dan adalah tidak bermoral untuk memanggil mereka sebagai pendatang.

Yang perlu dididik bagi keturunan dari pendatang ini ialah untuk menghilangkan ‘migrant mentality’ yang masih jelas wujud sekarang ini.

Apa dia yang dikatakan dan siapa pula yang boleh dianggap sebagai orang yang mempunyai ‘migrant mentality ini?

Mereka yang mempunyai mentaliti ini ialah mereka yang sentiasa merasakan yang mereka tidak selamat walaupun pun Perlembagaan telah menjamin mereka sebagai rakyat negara ini tanpa persoalan lagi. Mereka akan sentiasa merasa yang mereka perlu untuk persoalkan semua apa yang diperuntukan oleh Perlembagaan yang memberikan ‘keistimewaan’ kepada bangsa watan tanpa menyedari ‘protection’ yang diperuntukan kepada mereka itu lebih kuat dari mereka yang diberikan keistimewaan.

Mereka ini adalah lebih ‘protective’ terhadap bangsanya dan akan melakukan apa sahaja untuk mengaut segala keuntungan dan tidak akan rela mematuhi apa dasar-dasar yang telah persetujui bersama dengan melaksanakan ‘parochialism’ dalam segala tindakan mereka. Apa yang dikuasai oleh mereka, seperti bidang ‘industry’ dan ‘commerce’ misalnya, mereka akan hanya membawa bersama dalam pengurusan syarikat dan pertubuhan yang mereka kuasa itu untuk bangsanya walaupun sebelum itu mereka telah bersetuju untuk bersama-sama memainkan peranan untuk memperseimbangkan penyertaan dari semua kaum terutamanya dengan anak watan negara ini secara jujurnya.

Banyak syarikat yang telah mensyaratkan kefasihan dalam bahasa Mandarin sebagai syarat untuk menyertai syarikat walau pun syarikat yang mereka kuasa itu adalah syarikat awam yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Banyak di antara syarikat-syarikat yang dikuasai oleh mereka yang mempunyai ‘migrant mentality’ ini hanya mempunyai sebilangan kecil yang boleh dikira dengan jari jumlah kakitangan daripada anak watan Bumiputra itu tadi.

Mereka yang bermentaliti seperti inilah yang selalu memainkan isu perkauman dan menuduh pihak lain yang mempunyai mentaliti perkauman ini dan menggunakan isu ini untuk memperbesarkannya untuk kepentingan politik mereka. Akhirnya menguasai politik negara itu sebagai ‘ultimate’ mereka dalam jangka masa yang panjang nanti.

Kesedaran sebahagian dari anak watan inilah yang menyebabkan mereka juga terbentuk perasaan ‘defensive’ terhadap bangsa mereka dan akhirnya wujud pertubuhan-pertubuhan yang berhaluan kanan seperti yang disasarkan oleh sebahagian dari mereka yang mempunyai ‘migrant mentality’ sekarang ini. Mereka juga mempunyai matlamat politik bagi mempertahankan bangsanya yang begitu ‘imminent’ akan di kuasai oleh bangsa yang bermentaliti ‘migrant’ ini.

Sikap rakyat yang masih mempunyai ‘migrant mentality’ inilah yang menyebabkan keadaan rasa tidak mempercayai wujud terhadap gulungan ini, maka gulungan berhaluan kanan dikalangan anak watan dan Bumiputra ini bertambah subur dan itu yang menjadi isu politik kepada gulungan ini. Pendeknya mereka yang mempunyai mentaliti migrant inilah yang membuatkan keadaan penyatuan kaum ini terbantut kerana mereka terlalu menumpukan kepada bangsanya sendiri dari berfikir sebagai ‘Malaysian’.

Tetapi mereka jugalah yang menuduh setengah pemimpin Melayu sebagai tidak ‘Malaysian’ kerana menumpukan kepada melayu dahulu baru bercakap tentang ‘Malaysians’. Cuba dihazamkan betul-betul tentang isu yang saya sebutkan ini kerana kita memerlukan pencapaian penyatuan kaum yang berbagai itu sebagai agenda yang sangat penting bagi keperluan negara dalam jangka masa yang panjang. Tanpa kerjasama dan penyatuan kaum yang berbagai ini tidak mungkin kita capai matlamat kita yang ‘ultimate’ iaitu perpaduan kaum ini.

Pihak ini tidak boleh terus menerus menuduh pihak lain yang mempunyai pandangan berhaluan kanan ini, kerana mereka yang menuduh ini pun sama juga sikapnya malahan lebih menakutkan lagi bagi bangsa-bangsa anak watan yang mendiami negara ini.

Itu sebabnya dari awal tadi saya mengakui yang bangsa Cina dan India dan yang lain-lain yang keturunan mereka dari lain dari kawasan ‘Malay archipelago’ tadi telah diterima sebagai rakyat Malaysia dan tidak dianggap sebagai pendatang lagi, tetapi mereka masih mempunyai sifat-sifat dan ‘attribute’ sebagai kaum pendatang walaupun mereka bukan lagi pendatang.

Selagi masih ada perasaan curiga dikalangan anak watan tadi terhadap rakan yang sudah dianggap sebagai rakyat negara ini sejak berapa keturunan dahulu lagi, selagi itulah mereka tidak akan mampu diyakini oleh orang Melayu dan anak-anak watan yang lain untuk bersama-sama menjamah kuasa politik negara ini.

Kita tidak boleh marah dan sangsi terhadap mereka yang kita sangsikan itu, kerana kita sendiri mempunyai ‘attribute’ dan sifat-sifat dan mentaliti ‘migrant’ itu sendiri. Kita di negara ini tidak ada yang ‘migrant’. Yang ada hanya mereka yang mempunyai ‘migrant mentality’ sahaja.

Siapa yang mampu menyelesaikan masalah ini, itulah pemimpin yang sejati negara.

Tiada ulasan: