Kawalan longgar: Semua perlu bertanggungjawab
 
 
LAMAN Penyokong Selangor FC.Com menganggap kawalan di Stadium Shah Alam membabitkan pertemuan Selangor dengan Felda United pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2014, Jumaat lalu , longgar dan gagal memenuhi peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Moderatornya, Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, kelemahan sistem kawalan itu yang membuka ruang kepada berlakunya pembakaran suar oleh penyokong selepas perlawanan.

"Bukan salah penyokong 100 peratus. Kita tahu mereka akan bawa benda terlarang ini ke stadium, dan ia sering terjadi setiap perlawanan. Tapi persoalannya kenapa kawalan di pintu masuk longgar sehingga bahan terlarang dibawa masuk.

"Sebenarnya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) acuh tak acuh dalam hal ini, mereka tidak sungguh-sungguh untuk atasinya. Saya tak nafikan mereka ada lakukan pemeriksaan, tapi hanya di bahagian pintu masuk.

"Sedangkan pintu lain terbiar begitu sahaja. Bila suar dibakar, nak salahkan penyokong dan ultras, tapi salah sendiri tidak fikir," katanya ketika dihubungi semalam.

Firdaus juga sempat mempersoalkan kelemahan Jawatankuasa Keselamatan persatuan terbabit mengendalikan perkara tersebut.

"Kalau mereka buat kerja dan serius, hal sebegini tak akan berlaku," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembakaran suar yang didakwa Ultras Selangor selepas berakhirnya perlawanan The Red Giants dengan The Fighters.

Katanya, sebagai kelab penyokong sememangnya dukacita dengan keadaan tersebut dan pihaknya mahu FAS, MBSA serta PDRM memandang serius hal ini dan berbincang meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak.

"Peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan," jelasnya.

Sementara itu, diminta mengulas kekalahan memalukan Selangor 0-4 kepada Felda yang dikaitkan isu pemberian bonus RM20,000 masih belum diberikan FAS kepada pemain selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia, Firdaus tidak menolak itu mungkin salah satu faktornya.