OKU, bagi Mohd Rosli Ibrahim, bukanlah masyarakat terpencil dan berstatus picisan untuk terus ditangani dengan pendekatan simpati.
“Saya bukan mahu simpati masyarakat tapi saya mahu memperjuangkan hak OKU,” kata Rosli.
Bagi menyatakan suara hatinya, Rosli menulis buku berjudul OKU Bangkit, yang padat dan sangat berguna kepada semua golongan untuk memahami hak-hak golongan itu.
'Jabatan dalam jabatan'
Ini kerana, OKU bangkut memuatkan dokumentasi lengkap perjuangan kumpulan itu daripada pelbagai aspek.
“Niat saya (untuk jadikannya) sebagai rujukan untuk isu-isu OKU, dokumentasi dan reaksi terhadap isu ini,” katanya yang mengambil masa sebulan untuk menulis dan menyusun buku itu.
Menurut beliau, selama ini isu OKU hanya berlegar di kalangan NGO sahaja tanpa ada kupasan terbuka di kalangan masyarakat umum.
“Buku ini adalah jawapan kepada persoalan berkenaan OKU. Selama ini isu OKU dipandang remeh dalam tidak sedar, mereka yang cacat anggota makin bertambah dari sehari ke sehari,” katanya.
Justeru, katanya, jika isu itu tidak diketengahkan, ia hanya menjadi polemik dalaman dan hanya berlegar dalam komuniti mereka.
Antara isu yang diperjuangkan Rosli termasuk mewujudkan sebuah kementerian khas untuk golongan itu dan bukan hanya berstatus unit dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Akta tiada hukuman
Buku kecil 174 halaman itu juga mengetengahkan masalah tiada peruntukan hukuman dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 untuk pihak yang melanggarnya.
Rosli ketika dihubungi Malaysiakini berharap golongan senasib dengannya turut memberi pandangan dan berkongsi dengan masyarakat agar masalah dihadapi didengari.
“Jangan pendam dan hanya bercakap sesama sendiri. Itu seperti monolog,” katanya.
Rosli seorang penulis yang menggunakan sistem braille untuk menterjemah bahan bahan bacaan.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth School Johon Bharu.
Sebelum ini beliau bekerja sebagai operator talian di sebuah hospital swasta.
Selain aktif dalam dunia aktivisme OKU, beliau juga aktif di atas talian membincangkan persoalan agama, falsafah selain minat mendalamnya pada dunia perbukuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan