Beberapa pakar ekonomi berpendapat, bajet kali ini seharusnya lebih realistik dan 'dekat di hati rakyat' pertengahan yang sebelum ini kurang mendapat bantuan, selain bagi mengurangkan bebanan.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api memberi impak kepada semua golongan, terutama yang berpendapatan sederhana.
"Kenaikan bahan api sangat memberi kesan, ini kerana harga barangan keperluan asas akan meningkat sekali ganda. Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah lain seperti memberi kad subsidi kepada golongan sasar bagi mengelak penyeludupan diesel dan petrol di sempadan.
"Selain itu, pengurangan subsidi ini akan menyebabkan golongan berpendapatan sederhana terpaksa menanggung hutang dan mengurangkan kemampuan untuk membeli rumah dan kereta," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
"Kerajaan perlu memberi peluang kepada pensyarah melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
"Program Mybrain 15 juga harus diperkasakan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga akademik yang berkemahiran tinggi, iaitu sehingga PhD. Pada masa sama infrastrktur dan prasarana di universiti dan sekolah juga harus dinaik taraf seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor menyarankan supaya kerajaan memberi pelepasan cukai pendapatan individu antara satu hingga dua peratus kepada golongan sama.
"Pelepasan cukai ini dapat mengurangkan kos sara hidup golongan sederhana yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berusia 24 hingga 30 tahun. Golongan ini sudah pasti terbeban dengan tanggungan hutang kereta, rumah dan anak.
"Dengan pelepasan cukai individu seperti pengecualian cukai bagi mereka yang membayar secara ansuran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban mereka," katanya.
Selain itu, beliau menjangkakan Bajet 2015 kali ini tidak banyak berubah sebaliknya kesinambungan belanjawan tahun ini dengan tumpuan diberikan terhadap aspek pendidikan.
"Bajet 2015 merupakan penutup kepada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), jadi strategi masih sama dan tumpuan juga sudah pasti untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.
Bagi Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zulkornain Yusop pula, beliau meminta kerajaan membina lebih banyak rumah kos sederhana bagi membolehkan golongan ini memiliki rumah sendiri.
"Jika dilihat ketika ini, pemaju membuat keuntungan berlipat ganda apabila harga rumah dijual antara RM2 hingga RM4 juta. Ini tidak masuk akal, siapa mampu membeli rumah pada harga seperti ini.
"Golongan ekspatriat yang menetap di negara ini bolehlah beli rumah mewah seperti itu, kerana pertukaran mata wang asing. Bagaimana pula dengan golongan sederhana, adakah mereka akan terus menyewa dan tidak berpeluang memiliki rumah?," katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan akan membina lebih banyak rumah kos sederhana bagi membantu golongan ini yang sangat terbeban tanpa bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan.
"Kerajaan sepatutnya mewujudkan kuota kepada golongan ekspatriat untuk memiliki rumah dengan memperuntukkan kawasan khusus," katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta kerajaan melihat semula harga kenderaan automatif yang dijual di negara ini yang disifatkannya lebih tinggi berbanding dengan negara jiran, seperti Thailand dan Indonesia.
"Polisi ini sepatutnya dilihat semula supaya semua golongan dapat memiliki kenderaan mereka sendiri terutamanya di kawasan yang tidak jauh daripada kemudahan pengangkutan awam," katanya.
Zulkornain turut menyarankan supaya kerajaan melihat dengan lebih serius untuk mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di semua tempat kerja terutamanya agensi kerajaan.
Selain itu, katanya, kos penjagaan seorang bayi di taska swasta juga mahal dan ini juga seharusnya dilihat semula oleh pihak kerajaan.
Beliau berharap agar Bajet 2015 yang akan dibentangkan Jumaat ini
dapat memberikan tumpuan kepada masalah dan beban yang ditanggung oleh
golongan berpendatapan sederhana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan