KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyerbu
sebuah premis dipercayai dijadikan lokasi penyebaran ajaran sesat
dikenali Milah Abraham, di sebuah pusat perniagaan dekat Cheras, malam
tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam oleh sekumpulan 30 penguatkuasa
JAWI itu, 16 individu dewasa berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan,
membabitkan 11 lelaki dan lima wanita.
Turut ditahan dalam serbuan itu ialah tujuh kanak-kanak dipercayai anak kepada suspek dewasa berkenaan.
Dalam pemeriksaan hampir sejam di premis dua tingkat itu, barang milik
semua individu termasuk telefon bimbit, komputer serta beberapa naskhah
kitab turut dirampas.
Ketika anggota penguatkuasa menyerbu premis terbabit, semua pengikut
kumpulan berkenaan sedang khusyuk mendengar ceramah di dalam sebuah
kelas dikendalikan oleh seorang lelaki berusia 40-an.
Kesemua mereka kini dihantar ke Ibu Pejabat JAWI bagi pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Operasi JAWI, Muhamad Rais
Rashid yang ditemui selepas serbuan itu memaklumkan, individu terbabit
akan disiasat mengikut Seksyen 4 dan 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
Wilayah Persekutuan berkaitan penyebaran ajaran yang bertentangan
dengan Islam.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah pengikut kumpulan berkenaan lebih besar berbanding yang ditahan malam ini.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan, termasuk meneliti latar
belakang semua individu yang ditahan sebelum proses pendakwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan