Isnin, 22 September 2014

Selamat tinggal Tan Sri Khalid

Radzi Razak



 
 
 
Pertama kali saya mendengar pidato Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ketika kempen pilihan raya umum ke 12 pada 2008, di Bandar Tun Razak dan saya dapati ucapan beliau membosankan.

Ramai yang datang tetapi seolah tidak diperdulikan sangat apabila beliau seolah tergagap dan sukar difahami maksud ucapan beliau.

Saya ketika itu membuat tugasan sebagai pelajar kolej  meminta untuk memubual beliau selama lima minit, dan reaksi awal saya terus berubah.

 Walaupun saya telah lupa apa isi temubual itu, namun saya ingat jawapan beliau satu persatu jauh lebih baik dan meyakinkan berbanding ketika berucap di hadapan ratusan hadirin di atas pentas.

Sebulan kemudian, beliau dilantik menjadi menteri besar Selangor dan saya meneruskan pengajian.

Hampir dua tahun selepas itu, saya terjun ke dunia kewartawanan dan ditugaskan membuat liputan aktiviti kerajaan negeri Selangor.

Hari ini merupakan hari terakhir Khalid bertugas sebagai menteri besar dan pastinya satu perubahan dirasakan khususnya bagi warga media di sini.

Khalid sebelum ini pernah menyatakan betapa beliau mahu meninggalkan legasi pentadbirannya sebelum turun dari kerusi menteri besar.

Selepas menandatangani perjanjian induk yang membawa kembali syarikat pembekalan air kepada negeri Selangor, Khalid dilihat menghabiskan hari-harinya dalam kerja-kerja "santai".

Tanpa protokol, karenah

Beliau turut kelihatan lebih ceria selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada sultan Selangor dua minggu lalu.

Sabtu lalu, Khalid menghadiri acara perayaan pesta menuai Jepun, "Bon Odori" terakhir beliau sebagai menteri besar di Stadium Panasonic, Shah Alam dan beliau tetap seperti kali pertama pada 2008 - acara yang diakui beliau sebagai sentiasa membuatnya tersenyum dan ceria.

Beliau turun di tengah-tengah bersama menari mengelilingi bulatan dengan senyuman lebar tanpa sebarang kawalan keselamatan, sesuatu yang dilakukan saban tahun setiap kali perayaan ini tiba.

Khalid merupakan sosok yang amat berbeza sekiranya dikenali dengan rapat dan secara peribadi, bukan daripada pandangan politik.

Malah wartawan khususnya dari biro Shah Alam dan Selangor mendapati beliau mudah mesra dan sentiasa bersedia bertemu dan menjawab setiap persoalan yang ditujukan tanpa kerenah keselamatan dan protokol yang ketat.

Beliau yang sering dilihat bersama kakitangan pejabat menteri besar dan seorang "bodyguard" yang mesra tidak menghalang langsung ketika melihat media menuju ke arahnya, kecuali bulan lalu, tatkala krisis ini memuncak.

Saya melihat ramai wartawan yang mengenali Khalid berasa sedih dan marah apabila beliau dipecat dan dikritik hebat oleh pimpinan PKR sepanjang Ogos lalu.

Beberapa wartawan meluahkan kebimbangan pentadbiran Selangor bakal berubah berikutan ketidakyakinan kepada pengganti beliau, baik dari PKR atau PAS.

'Umpama dua sahabat'

Semalam, beliau mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah ke kejohanan golf Selangor Masters dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Selepas menyampaikan hadiah, sultan dan Khalid, berbual panjang di sudut khemah jamuan, dengan perbualan yang agak peribadi, dan amat santai sekali. Mereka kelihatan umpama dua sahabat yang berbual di kedai makan selepas penat bekerja.

Khalid dilihat agak jauh dari PKR namun sepanjang enam tahun pentadbirannya, beliau  dihormati mereka yang pernah bekerja dengannya.

Jolokan "kedekut" sinonim dengan beliau oleh kedua pengkritik dan pemujinya. Dari satu sudut, beliau dilihat amat berhati-hati dalam membelanjakan wang negeri, dan dari satu sudut lagi, beliau dilihat seperti tidak mahu membantu mengembangkan agenda pimpinan tertinggi parti.

Namun beberapa orang-orang beliau, sama ada baru atau sudah lama bekerja dengannya, mampu memberi kerjasama dan mempertahankan beliau.

Beberapa bulan lalu, seorang pengerusi GLC Selangor yang bukan berlatar belakangkan politik, meluahkan kebimbangan kepada saya terhadap perkembangan yang berlaku ketika itu.

Menurut beliau cara kerja Khalid yang teliti tidak pernah diterima beliau dari seorang ahli politik sepanjang lebih 20 tahun pengalamannya.

Penampilan serabut

Walaupun terkenal sebagai tokoh koporat yang mewah, penampilan Khalid dilihat berbeza dengan rakan kontemporarinya.

Adalah menjadi perkara biasa apabila Khalid keluar dari bilik mesyuarat, beliau dikepung media dengan rambut dan pakaian yang kurang kemas. Bagaimanapun penampilan "serabut' Khalid itu nampaknya menjadikan beliau seorang pemimpin yang mudah didekati rakyat.

Saya masih ingat lagi seorang makcik yang terkesima apabila melihat Khalid bersahaja membeli stokin di pasaraya Giant sewaktu acara pemberian baucer "Jom Shopping" warga emas tahun lalu.

Makcik tersebut yang kebetulan berdiri di sebelah saya, secara spontan melahirkan kekaguman kerana seorang Tan Sri yang membeli pakaian di tempat yang sama dengan beliau.

Dan ini bukanlah gimik politik kerana beliau memang begitu. Namun yang kurang diketahui umum ialah minat Khalid dengan karya sastera khususnya sajak.

Pada tahun 2012, ketika majlis menganugerahkan pengikritafan kepada Datuk A. Samad Said sebagai "Sasterawan Tamu" negeri Selangor, Khalid membaca ucapan yang amat panjang diselang-selikan dengan petikan-petikan sajak.

Walaupun agak lambat dan kurang lancar, kesungguhan beliau membaca menimbulkan kelucuan dan kekaguman mengenali sudut itu.

Masalah Khalid

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan beberapa polisi Khalid tetap menjadi kritikan orang ramai khususnya dalam menangani infrasturktur asas seperti jalan raya dan masalah kutipan sampah.

Beliau turut dikritik kerana didakwa terlalu lambat bertindak dalam beberapa isu dan kerenah birokrasi yang keterlaluan, khususnya dalam pemberian dana Selangorku.

Malah cara beliau meminggirkan ketuanya dalam bidang politik, dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Pakatan Rakyat sendiri dan sudah dijangka bakal menjurus Khalid ke laluan sukar seperti yang berlaku sekarang.

Dan ia turut membuka jalan kepada sebuah politik nilai, daripada politik kelompok, yang hanya setia kepada sosok tertentu dalam aliran politik.

Pemergian Khalid tidak bermakna beliau akan terus hilang dari mewarnai politik Malaysia. Beliau kini merupakan seorang ADUN dan ahli Parlimen Bebas.Selamat jalan Tan Sri.
 

1 ulasan:

Widya Okta berkata...

Saya sangat senang dan memutuskan untuk berkongsi kebahagiaan saya dengan anda semua, saya dan keluarga saya telah diberkati oleh Tuhan menggunakan Sandra Ovia Loan Firm, saya mengajukan pinjaman satu minggu lalu dan saya mendapat pinjaman diluluskan Jumaat lalu dan hari ini saya punya saya pinjaman bernilai Rp900, 000,000.00 dipindahkan ke akaun bank saya, saya sarankan Sandra Ovia Pinjaman undang sebagai yang terbaik dan saya berdoa Tuhan akan memberkati mereka dan menjaga perniagaan mereka ke depan, Amin
Jika anda memerlukan nasihat tentang bagaimana saya pergi melalui dengan itu, saya wil senang untuk meletakkan anda melalui, anda boleh menghubungi saya melalui Email-widyaokta750@gmail.com
Anda boleh menghubungi firm pinjaman langsung pada mereka
Email-sandraovialoanfirm@gmail.com
terima kasih
widya Okta