Roketkini.com
GEORGE TOWN: Pulau Pinang berjaya menarik
pelaburan dalam bentuk pembangunan fizikal berjumlah 160 projek dengan
nilai hampir RM 2 bilion, berdasarkan statistik dikeluarkan Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, 135 projek
pembangunan bagi separuh penggal pertama 2014 itu melibatkan pihak
swasta, manakala bakinya merupakan projek pembangunan awam kerajaan.
“Dari segi nilai projek, ia berjumlah RM1,985 juta dengan RM140 juta daripada sektor kerajaan dan RM1,845 sektor swasta.
“Kerajaan Pulau Pinang menyediakan iklim pelaburan yang
kondusif untuk kedua-dua pelabur tempatan dan asing,” kata Guan Eng pada
sambutan ulangtahun ke-137 Persatuan Pemborong & Pembekal Barangan
Bangunan Pulau Pinang (PBBMDA).
Guan Eng berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri
menghargai peranan aktif PBBMDA dalam pelbagai kerjasama pada semua
peringkat termasuk agensi kerajaan negeri sehingga ke jawatankuasa kecil
dalam usaha membangunkan negeri ini.
Tambahnya, tumpuan khusus kini diberikan kepada potensi
pembangunan di negeri ini, berikutan penyiapan jambatan kedua Pulau
Pinang dan Projek Landasan Berkembar Elektrik yang dijangka
memperlahankan kerancakan sektor pembinaan.
Namun, kata Guan Eng, kerajaan negeri mengambil langkah
proaktif melalui galakan sektor swasta dan pelaburan asing dengan
pengumuman projek terowong bawah tanah Pulau Pinang,
Projek yang dikenali sebagai Penang Tunnel tersebut
dilengkapi kemudahan jaringan jalanraya melalui Pelan Bersepadu
Pengangkutan Pulau Pinang dan dijangka menelan belanja berjumlah RM27
bilion.
Rebat air 35% ke tapak pembinaan
Dalam pada itu, kata Guan Eng, sebagai sebuah kerajaan
negeri yang sentiasa peka kepada keperluan industri, Pulau Pinang akan
memberikan rebat sebanyak 35 peratus kadar air bekalan komersial ke
tapak pembinaan dari kadar RM3 per meter padu.
Dalam kata lain kata Guan Eng kadar sebenar yang dibayar
adalah RM1.95 per meter padu, meningkat 28 peratus daripada kadar lama
iaitu RM1.52.
“Kadar RM1.95 per meter padu ini meletakkan Pulau Pinang
sebagai antara negeri terendah (caj air industri) di Malaysia dan saya
berharap rebat 35 peratus ini membantu menghadkan peningkatan kos,”
katanya.
Guan Eng turut memaklumkan kerajaan negeri menggariskan
strategi menyeluruh untuk pertumbuhan masa depan Pulau Pinang dalam
tempoh sepuluh tahun akan datang.
Katanya, mulai tahun lalu kerajaan negeri menerimapakai
konsep ‘Paradigma Pulau Pinang’ sebagai kerangka pembangunan negeri
menyeluruh untuk tempoh 10 tahun ke arah membentuk masyarakat yang
berimbang.
“Di bawah pelan ini, kami telah menggariskan strategi
menyeluruh untuk pertumbuhan masa depan Pulau Pinang menjadi sebuah
negeri pintar dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2023,” ujarnya. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan