Oleh Dinsman
SAYA sudah bicarakan buku “Tok Guru – Sebuah Biografi Awal” (TGSBA) di tempat lain. Di Pesta Buku Selangor, SACC Shah Alam, 4 September (bersama Dr Shaharir Mohd Zain dan Lim Hong Siang), dan di dalam Malaysian Insider. Jadi tak perlu saya ulangi lagi di sini, kecuali satu bahagian di dalamnya yang saya sangat teruja dengannya.
Kisah Nik Mat Alim, atau nama sebenarnya Raja Muhammad Raja Banjar, iaitu ayah kepada Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan 1990-2013. Kenapa saya sangat teruja dengan kisah Nik Mat Alim seperti yang diceritakan oleh Habibul Izzah Ahmad dalam bukunya yang diterbitkan oleh Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) itu?
Cara bagaimana Nik Mat Alim mendidik anak-anaknya. Itu yang membuatkan saya jadi teruja. Maklumat yang dibentangkan oleh Habibul Izzah mengenai perkara itu, bagi saya, sudah cukup untuk memberi nilai yang tinggi kepada bukunya. Pedulikanlah soal dia memasukkan unsur-unsur lagenda, mitos dan dongeng dalam penceritaannya. Dan pedulikanlah juga beberapa kesilapan fakta sejarah yang terdapat dalam buku itu.
Yang pentingnya ialah kisah bagaimana Nik Mat Alim mendidik anak-anaknya itu, khasnya bagaimana dia mendidik Nik Aziz itu sendiri, sehingga Nik Aziz menjadi Tok Guru Nik Aziz seperti yang kita kenalinya hari ini.
Apakah Tok Guru Nik Aziz tidak akan menjadi Tok Guru Nik Aziz seperti yang kita kenali itu sekiranya Nik Mat Alim tidak mendidiknya seperti yang diceritakan oleh Habibul Izzah di dalam bukunya TGSBA itu?
Ya, bagi saya jawapannya: Ya, TG Nik Aziz tak akan jadi seperti dirinya yang kita kenali itu sekiranya ayahnya Nik Mat Alim tidak mendidiknya seperti yang dia telah lakukan sejak anaknya itu dilahirkan pada tahun 1931, hinggalah dia dihantar ke India untuk belajar di Darul Ulum, Deoband, ketika berumur 21 tahun.
Namun apa pun, telah ditaqdirkan oleh Allah SWT begitu, maka begitulah. Dan demikianlah yang telah terjadi, seorang kanak-kanak yang tidak pernah masuk ke mana-mana sekolah kebangsaan atau sekolah rendah, dan jauh sekalilah memasuki Tadika, dan tidak pernah juga menjejakkan kakinya ke mana-mana sekolah menengah – akhirnya berjaya mendapat ijazah Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, sebelum pulang ke tanahair pada Februari 1962.
Dan pada tahun 1967 menjadi Ahli Parlimen Malaysia, melalui pilihan raya kecil Kelantan Hilir, dan pada tahun 1990 menjadi Menteri Besar Kelantan.
Mengikut buku Habibul Izzah, dan juga buku “Peribadi Tuan Guru” oleh Hussain Yaakub (1992), Nik Aziz tidak pernah melibatkan diri dengan mana-mana persatuan pelajar atau aktif dalam apa-apa aktiviti pelajar sewaktu di Universiti Al-Azhar mahupun di Deoband, India.
Maka di manakah anak muda ini mendapat latihan kepemimpinan atau pengalaman berorganisasi, maka dia tiba-tiba berjaya memimpin sebuah masyarakat sebagai Menteri Besar selama 23 tahun, dengan membuktikan banyak kejayaan yang penting bukan sahaja untuk masyarakat di Malaysia bahkan boleh diteladani oleh ummah di seluruh dunia?
Dan dia masih diperlukan oleh jemaah PAS di Malaysia untuk memimpin parti politik itu, sebagai Mursyidul Am, walaupun umurnya sudah 83 tahun.
Saya tidak mengatakan bahawa Nik Mat Alim itu bertanggungjawab ke atas kejayaan TG Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Itu adalah kejayaan peribadi TG Nik Aziz sendiri. Tetapi didikan yang diperolehnya sewaktu dia kanak-kanak dan remaja, yang membentuk keperibadiannya, adalah hasil yang dilakukan oleh Nik Mat Alim itu.
Pengarang telah membuat kajian dan penyelidikan yang cukup teliti, selama sejak dia di universiti lagi, tahun 1996. Buku ini asalnya kajian ilmiah peringkat Sarjana Mudanya di Universiti Malaya. Pernah tergendala sekejap kajian itu, kemudian disambung semula, dan baru tahun ini, awal 2014, diterbitkan.
Tumpuannya menceritakan agak terperinci mengenai Nik Mat Alim itu, hingga boleh dikatakan buku ini sebenarnya ialah biografi awal Nik Aziz dan juga biografi Nik Mat Alim – seorang yang alim dan sangat tegas dalam melaksanakan ibadah dan dalam mendidik anak-anaknya menunaikan perintah beribadat.
Misalnya dia memastikan anak-anaknya bangun seawal jam 3 pagi (mengikut Hussain Yaakub jam 4 pagi) untuk bertahajud, membaca Quran dan ibadah-ibadah lain, dan tidak tidur lagi hingga siang. Semua anak-anaknya, walau masih kecil. Dan selepas Subuh anak-anak itu diajaknya pula berkebun.
Nik Aziz ialah produk sekolah pondok. Dan sebelum ke pondok, rumahnya adalah sekolahnya, dan Nik Mat Alim adalah guru pertamanya (di samping Mek Aminah, ibunya, yang mengajar anak-anaknya menulis dan membaca tulisan jawi). Dan guru pertama ini bukan sahaja mengajar hal-hal biasa seperti yang biasa diajar oleh kebanyakan ayah, tetapi dia menjadi guru yang lebih daripada itu.
Kata Izzah, “Apabila usia Nik Aziz 7 tahun, Nik Aziz telah mula berjinak-jinak menghafal kitab-kitab nahu dan saraf, termasuk kitab Matan Alfiah” – iaitu kitab nahu bahasa Arab yang menjadi bacaan wajib di sekolah pondok. Ia dikatakan kitab yang sukar dipelajari – mengandungi 1000 bait syair. Nik Aziz menghafal kitab ini sewaktu berusia 8 tahun.
Anda kena baca buku ini, kalau ingin mengetahui yang selebihnya. Saya tak mungkin menceritakan lebih daripada ini. Dan saya juga ingin mencadangkan kepada IPTG supaya buat sesuatu untuk mencungkil lagi bagi mengetahui kaedah pendidikan Nik Mat Alim itu.
Istimewanya buku ini, Izzah tidak membeberkan teori mengenai pendidikan cara Islam, tetapi dia menceritakan terus pelaksanaannya oleh seseorang, dan membuktikan keberkesanan kaedah yang digunakannya itu. Hingga apabila mendengar seorang pendakwah sedang menyampaikan tazkirah, saya terfikir begini:
Cubalah kalau pendakwah kita tidak usah banyak sangat bersyarah dan berceramah di sana-sini, tetapi masing-masing melaksanakan didikan seperti yang dilaksanakan oleh Nik Mat Alim itu kepada keluarga masing-masing. Tentulah kita akan mendapat suatu ummah yang sangat berjaya.
Kenapa saya katakan demikian? Ialah kerana didikan oleh Nik Mat Alim itu tidak sama dengan didikan yang dilakukan oleh orang lain. Ketegasannya dan disiplin ketat yang dikenakan ke atas anak-anaknya dalam melaksanakan perintah Allah, seperti yang diceritakan oleh Habibul Izzah itu, adalah sesuatu yang ketara dan jelas berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan