Selasa, 16 September 2014

Akta Hasutan: Khatib berkhutbah Jumaat pun disiasat

MOHAMED HANIPA MAIDIN 


AKTA Hasutan sudah lama wujud di negara ini sejak wujudnya penjajah di negara ini. Tetapi mengapakah kali ini bantahan ke atas akta ini begitu lantang didengar sehingga wujudnya satu gerakan bernama "GHAH" bagi menuntut penghapusan akta drakonian ini? Sudah tentu ada sebab tertentu yang mendorong penentangan lantang itu.

Sebabnya terlalu jelas. Akta Hasutan itu kini sedang menggila ibarat lembu liar yang tidak dapat dikawal. Yang lebih malang para pengawal akta yang sedang menggila ini juga adalah orang gila - mereka yang gila kuasa! Undang undang ibarat pisau - manfaat atau mudarat pisau itu bergantung siapa yang pegang dan gunakan pisau itu!

Saya tidak terfikir penggubal akta ini terfikir akta ini akan digunakan kepada seorang profesor undang-undang yang bidangkuasanya memberi pendapat undang-undang. Jika seorang profesor undang-undang didakwa di bawah undang-undang kerana memberikan pendapat tentang undang-undang maka di manakah lagi kita boleh mengharapkan akta ini dan pengawal akta ini masih lagi di garisan kewarasan?

Saya juga tidak fikir penggubal undang-undang ini boleh terfikir tangan undang-undang ini terlalu panjang sehingga seorang khatib yang berkhutbah Jumaat juga akan disiasat di bawah akta ini. Sejak bila pula bidangkuasa polis dilebarkan hingga ke urusan dalam masjid?

Begitu juga jika penjajah yang gubal undang undang ini tidak terfikir untuk menangkap dan mendakwa seorang wartawan nampaknya "anak penjajah" tidak segan silu melakukan apa yang tuan dia tidak lakukan.

Sebab itu kali ini kita melihat penentangan kepada akta ini bukan sahaja datang dari pihak Pakatan Rakyat dan NGO serta individu individu yang kita sudah tahu istiqamah mereka menentang akta ini sejak sekian lama sepertimana istiqamah mereka menentang undang undang drakonian yang lain, malahan kali ini menteri dan mantan menteri Umno juga tidak dapat mengawal lidah mereka selain turut sama menghentam akta ini.

Ketika saya hadir sebagai peguambela kepada Khalid Samad yang juga menjadi mangsa kepada akta ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama peguam LUHAM, Saudara Arif Azami, mendengar pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh, saya berbisik kepada Saudara Arif di manakah unsur hasutan kata kata Khalid Samad itu? Rupanya bukan saya sahaja berkongsi kesangsian itu. Saya diberitahu oleh Khalid Samad pegawai polis yang mengiringi Khalid untuk membayar duit jaminan juga berbisik dengan Khalid "saya tunggu sampai habis kata kata YB yang dikatakan menghasut dalam kertas pertuduhan, di mana yang dikatakan menghasutnya?"

Orang kata undang undang ini juga harus selari dengan "common sense" kerana mana mana undang undang yang tidak selari dengan " common sense" tidak akan dapat bertahan kecuali di negara yang kezaliman adalah satu norma dan keadilan adalah satu pengecualian.

Hanya rejim yang zalim sahaja boleh terus hidup dengan akta yang tak masuk akal kerana di dalam masyarakat yang tidak mampu menggunakan akalnya rejim yang zalim akan tetap dipatuhi dalam apa keadaan sekalipun.

Itulah yang A- Quran ajar kepada kita tentang Firaun. Firaun, kerana percaya kepada ahli nujum, sanggup gubal undang undang membunuh bayi lelaki yang baru lahir kerana percaya bahawa bayi itu akan menjatuhkan rejimnya yang zalim itu. Mengapakah undang undang yang tidak masuk akal itu lama bertahan di bumi Mesir di bawah rejim Firaun? Jawabnya Firaun telah berjaya memperbodohkan kaumnya (fastakhaffa qaumahu) dan malangnya kaumnya terus mentaati Firaun dengan undang undang yang tidak masuk akal dan zalim itu.

Para mufassirin seperti Ibnu Kathir r.a. ketika menafsirkan kata kata "fastakhaffa qaumahu" menafsir dengan makna "istakhaffa 'uqulahum" iaitu Firaun memperbodohkan otak dan pemikiran rakyatnya sehingga mereka tidak boleh lagi berfikir.

Di era langit terbuka, kampung global atau globalisasi kewujudan Akta Hasutan adalah suatu yang tidak masuk akal yang hanya patut wujud di dalam dunia imaginasi sahaja. Bolehlah dikatakan akta ini ibarat dinosour yang kita boleh menyaksikan binatang purba itu apabila wujudnya pengarah seperti Steven Spielbergh yang mewujudkan dinosour dalam filem imaginasi Jurassic Park.

Di zaman sepertimana kata Perdana Menteri "Kerajaan tahu semuanya" sudah berakhir sepatutnya menyaksikan juga berakhirnya Akta Hasutan. Jika era 'Kerajaan tahu semuanya' sudah berakhir, maka sepatutnya ketakutan rakyat untuk berbincang, berdebat dan bercakap perkara perkara yang dahulunya dianggap sensitif dan masuk dalam zon larangan sewajarnya juga sudah berakhir.

Sampai bilakah rakyat Malaysia akan bersikap matang jika setiap kata kata yang diingin ditutur dibatasi oleh sekatan sekatan yang terus menyekat mereka?

Tiada ulasan: