MALAYSIAKINI
Kerajaan tidak boleh mengambil ringan kegagalan radar menjejaki pesawat
MH370 kerana ia mungkin boleh digunakan dalam serangan pengganas seperti
serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat , berkata Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Oleh itu, Nurul Izzah menggesa supaya Pertubuhan Penerbangan Awam
Antarabangsa (ICAO) mengaudit sistem radar komersial di negara ini,
terutamanya di KLIA2 yang baru dibina.
"Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ia melibatkan keselamatan
individu-individu yang berada di dalam pesawat serta keselamatan
negara.
"Kejadian serangan 9/11 sentiasa terngiang-ngiang di ingatan kerana
serangan tersebut dilakukan dengan menggunakan jet penerbangan awam,"
katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian tersebut, dua pesawat awam telah dirampas dan merempuh Pusat Dagangan Dunia di New York.
Pesawat ketiga terhempas di Pentagon, Virginia manakala yang keempat
yang dikatakan mensasarkan Rumah Putih telah digagalkan oleh tindakan
penumpang dan terhempas di Pennsylvania.
Lebih 2,900 orang terbunuh dalam serangan tersebut termasuk penumpang keempat-empat pesawat berkenaan.
Nurul Izzah juga memetik laporan awal mengenai kejadian kehilangan MH370
yang dikeluarkan pada hari Khamis, yang mendedahkan bahawa radar
tentera telah mengesan kemungkinan pesawat tersebut tetapi tiada
tindakan diambil.
"Persoalannya adalah, jika pesawat tersebut adalah MH370, mengapa ia
tidak dikenalpasti dengan lebih awal dan seandainya ia bukan MH370,
adakah ia satu kebiasaan bahawa pesawat-pesawat yang tidak diketahui
asal usulnya dengan senang wenang dapat menembusi ruang udara Malaysia?"
katanya lagi.
Nurul Izzah berharap laporan awal itu akan mendorong kerajaan Malaysia
untuk memberikan lebih perhatian kepada keselamatan udara di Malaysia
dan meningkatkan mutu perkhidmatan yang sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan