OLEH DIYANA IBRAHIM
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata kebanyakan mangsa
tertipu dengan sindiket kemudiannya diberitahu kenderaan itu dari
Langkawi di mana mereka perlu membayar cukai kepada Jabatan Kastam
Diraja Malaysia untuk mendapatkan kembali kereta mereka.
Katanya, laporan juga sudah diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sindiket tersebut namun badan
tersebut hanya mendiamkan diri.
Beliau berkata, bukan saja SPRM, malah pihaknya juga bertindak menulis
surat kepada kementerian berkaitan termasuk Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Paul Low, tetapi tiada maklum balas diterima.
"Ramai yang menjadi mangsa sindiket tersebut apabila mereka tidak
menyedari membeli kereta dari Langkawi kerana semasa transaksi itu
pembelian berdasarkan dokumen sahih.
"Malah, permohonan pinjaman pembelian kereta juga diluluskan oleh bank
melalui dokumen diberikan pengedar kereta, bagaimana selepas hampir dua
tahun kastam memaklumkan kereta tersebut merupakan 'barang belum lulus
kastam’ dan pembeli diminta membayar duti," katanya pada sidang media di
ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, aduan tersebut menimbulkan kerugian apabila kastam
mendakwa kereta terpakai tersebut diklasifikasikan sebagai "barang belum
lulus" walhal ia sudah dibawa keluar dari Langkawi.
"Menurut undang-undang, Langkawi merupakan pulau bebas cukai bermaksud
kereta didaftarkan di pulau berkenaan tidak boleh dibawa keluar dan
masuk ke kawasan utama kastam melebihi 30 hari bagi satu permohonan dan
tidak lebih 90 hari dalam setahun," katanya.
Ong mempersoalkan sekiranya kereta tersebut masih lagi menjadi "barang
belum lulus kastam" bagaimana dokumen permohonan pinjaman diluluskan
oleh bank.
"Ia amat mengelirukan apabila setiap kereta bermasalah tersebut diakui
sah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Puspakom termasuk bank yang
memberi pinjaman mengesahkan kereta tersebut sah daripada segi
undang-undang.
"Jadi bagaimana kemudiannya kastam menyatakan ia tidak sah dan meminta
pembeli untuk membayar cukai, kerana itu kita tuntut SPRM menyiasat hal
ini," katanya.
Pada sidang media tersebut DAP turut menjemput mangsa mangsa penipuan sindiket penyeludupan kereta Langkawi.
Mangsa, Ng Eng Tat yang membeli kereta terpakai jenis Mazda dua tahun
lalu terkejut apabila kastam memaklumkan kepadanya kenderaannya itu
disita kerana ia merupakan "barang belum lulus".
"Tidak ada notis sebelum ini daripada kastam tiba-tiba mereka datang ke rumah saya memaklumkan akan menyita kereta saya.
"Kastam juga memaklumkan kepada saya sekiranya saya ingin mendapatkan
kembali kenderaan tersebut, saya perlu membayar 10% deposit berdasarkan
harga pasaran kereta iaitu sebanyak RM13,500," kata Ng.
Ng berkata, kerana merasakan ia tindakan tidak adil maka beliau membuat laporan polis pada 17 Mei 2013.
Sementara itu, Ong mendakwa kes penyeludupan sindiket kereta di Langkawi mempunyai kaitan membabitkan pegawai kerajaan.
Beliau merujuk kepada pembunuhan kes berprofil tinggi Timbalan Ketua
Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak mati di
Putrajaya pada 26 April tahun lalu.
"Melalui pendedahan media, anaknya mendakwa kematian bapanya berkait rapat dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.
"Dan selepas setahun kematian timbalan ketua pengarah kastam itu, kita
tertanya-tanya apakah perkembangan kes tersebut, siapakah pembunuhnya
dan polis hanya mendiamkan diri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan