Datuk Seri Noh Omar Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar


SHAH ALAM - Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mahu debat isu kalimah ALLAH diteruskan, malah bersedia untuk mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh penganjur.

Kecewa dengan pembatalan debat yang sepatutnya berlangsung hari ini, Noh berkata, beliau sudah melakukan pelbagai persediaan terutama berkaitan aspek perundangan berkaitan isu berkaitan.   

Noh berkata, debat itu wajar diadakan dalam tempoh terdekat kerana isu kalimah ALLAH sudah menjadi polemik yang hangat dalam kalangan masyarakat dan pada masa yang sama, pembatalan debat menyebabkan beliau dipandang negatif.

“Apa syarat yang ditetapkan, kita akan ikut. Kita lihat perkara ini membimbangkan dan akan cetus polemik dan keselamatan, saya minta penganjur dapat fikir cara terbaik supaya debat ini diteruskan, kita  akan akur (syarat ditetapkan),” katanya.

Beliau sebelum itu hadir ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf untuk bertemu Pengarah Urusan, Datuk (Dr) Hussamuddin Yaacub dan Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abdul Jalil Ali untuk mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan debat itu di saat-saat akhir.

Turut hadir, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail; Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari; Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus; Ketua Umno Kota Raja, Datuk Ir. Kamaruzzaman Johari dan Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Norhayati Onn.

Debat Isu Kalimah ALLAH Dari Perspektif Perundangan itu sepatutnya menemukan Noh dengan Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad dan dikendalikan oleh Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya  Dr Sham Rahayu Ab Aziz.

Ketika berucap di hadapan lebih 200 penyokong yang berkumpul di luar Kompleks Media Karangkraf, Noh berkata, beliau telah diberikan penjelasan oleh pengurusan Sinar Harian mengenai pembatalan debat itu.

"Datuk Hussamuddin berkata debat terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan. Terima kasih kepada mereka yang hadir hari ini, bagi diri saya perkara ini amat mengecewakan dan kesal dengan pembatalan ini.

“Walaupun kami faham, Sinar Harian menjelaskan pembatalannya atas dasar keselamatan namun kami mahu debat diteruskan juga dalam masa terdekat ini, dengan apa cara yang mungkin sekalipun,” katanya.

Katanya, beliau berharap Sinar Harian dapat memikirkan cara terbaik supaya debat ini dapat diteruskan agar tidak timbul spekulasi mengatakan bahawa beliau yang mahu program ini dibatalkan.

"Pihak pembangkang tetap menyalahkan kita... Malah Khalid juga melalui tweeter mengatakan menyatakan kita yang menyuruh penganjur membatalkan perdebatan itu. Umno selalu jadi mangsa keadaan.

"Jadi kerana itu, hari ini kita minta apa cara pun mesti diteruskan juga debat ini. Saya berjanji kita akan hanya bercakap dari sudut perundangan kerana latar belakang saya seorang peguam," katanya.