Sebuah helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) jenis Agusta A-109
LUH terhempas di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok,
Segamat, Johor di antara jam 9 hingga 10 malam tadi, menurut sumber
ketenteraan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, empat anggota tentera termasuk juruterbang dalam
helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan itu selamat dan
dihantar ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan.
"Helikopter itu sedang melaksanakan latihan penerbangan malam sebelum
ia terhempas di hutan berhampiran Empangan Bekok di Segamat," katanya.
Katanya, pasukan penyelamat daripada PUTD yang digerakkan ke lokasi
kejadian berjaya membawa keluar semua mangsa yang disahkan tidak
mengalami sebarang kecederaan serius sebelum dihantar ke hospital
berkenaan kira-kira jam 1 pagi.
Katanya, seorang daripada empat anggota tentera terbabit ialah seorang
pegawai tentera asing berpangkat Lt Kolonel yang bertindak sebagai
jurulatih penerbangan.
Difahamkan pegawai tentera asing itu berasal dari Perancis, manakala
tiga yang lain ialah pegawai berpangkat Mejar, Kapten dan Sarjan.
Menurut sumber itu, impak daripada kemalangan itu menyebabkan ekor
serta kipas helikopter itu putus dua serta tayarnya rosak teruk.
"Helikopter itu disifatkan sebagai 'total loss'," katanya.
Menurutnya, latihan penerbangan malam agak berisiko kerana juruterbang
terpaksa bergantung kepada "Night Vision Goggle" serta instrumen
penerbangan lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad ketika
dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada tentera pada pagi ini
mengenai kejadian itu.
Katanya, beliau dimaklumkan yang helikopter itu tidak terhempas tetapi membuat pendaratan cemas berikutan masalah penerbangan.
Beliau berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan dialami mangsa yang terlibat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan