KELAB GREENBOC
KAIN rentang ini digantung di beberapa lokasi di Pulau Pinang iaitu di Gereja Assumptions Conception, Lebuh Farquhar; Gereja St John Britto, Sg Pinang; Gereja Immaculate Conception, Lorong Maktab, Pulau Tikus; Victory Lutheran Church, Lorong Delima 7; dan Island Glade, Gelugor.
Membaca ayat-ayat yang tertera pada kain rentang tersebut pasti menimbulkan kemarahan umat Islam dan pada bila-bila masa boleh mencetuskan ketegangan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuduh kain rentang tersebut digantung oleh anasir jahat di luar gereja di negeri itu yang mahu penganut Kristian dan umat Islam bermusuhan.
"These extremist n racist bigot must not succeed," katanya dalam laman Twitternya yang turut menyebut laporan polis mengenai kain rentang itu telah dibuat oleh salah sebuah gereja.
Kata Guan Eng lagi, pihak gereja sangat kesal dengan perbuatan tersebut.
Sementara itu Sin Chew Daily dan beberapa portal berita melaporkan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Hng Chee Wey mengutuk pihak tidak bertanggungjawab yang memasang kain rentang dengan perkataan berbaur provokatif di beberapa gereja di Pulau Pinang.
Sambil menggambarkan tindakan itu sebagai bermain api, Chee Wey berkata, perbuatan memasang kain rentang tersebut dapat menimbulkan konflik antara agama di negara ini.
"Sekiranya kita mencintai Malaysia, maka semua pihak harus berhenti daripada melakukan tindakan tidak bijak seperti ini.
"Jika tidak, perpaduan negara pasti akan terjejas dan rakyat jelata akan menjadi mangsanya," katanya dalam kenyataan yang dipetik Sin Chew Daily.
Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan menggantung kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini adalah cubaan untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan antara agama di negeri ini.
Sambil mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya percaya kain rentang itu adalah tindakan provokatif paling tinggi dan sangat biadap.
Polis Pulau Pinang menyifatkan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang yang tertera kalimah Allah sebagai provokasi melampau bagi membangkitkan kemarahan umat Islam.
Sambil menafikan penglibatan pihak gereja dalam perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya percaya pemasangan kain rentang itu bertujuan mewujudkan provokasi pihak-pihak tertentu terhadap isu berkenaan.
Katanya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan rondaan akan dipergiatkan di kawasan-kawasan terlibat khususnya di bandar raya Georgetown yang mempunyai kira-kira 40 buah gereja.
Abdul Rahim berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (A) Akta Hasutan.
“Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.
ULASAN GB
Oleh kerana laporan polis sudah dibuat, maka menjadi tanggungjawab pihak polis untuk melakukan siasatan serterusnya menangkap pembikin dan penggantung kain rentang provokatif berkenaan.
Ia terlalu merbahaya. Seakan-akan mahu menimbulkan suasana perang di antara penagnut agama Islam dan Kristian di negara ini.
GB tidak mahu membuat spekulasi tetapi GB percaya ada pihak yang melempar batu sembunyi tangan.
Umum mengetahui selama ini melalui tulisan-tulisan di laman sosial dan demo-demo melampau, kumpulan mana sebenarnya yang menimbulkan provokasi dan api perkauman di negara ini.
Polis perlu bertindak tegas, adil dan telus di dalam siasatan insiden berkenaan demi menjaga kredibiliti dan integriti polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan