RAKYAT NEWS
BALIK PULAU - Pihak polis akan memburu pihak yang tidak
bertanggungjawab melontar 'molotov cocktail' atau bom botol di
pekarangan sebuah gereja di Lebuh Farquhar dekat sini awal pagi ini
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam
kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah
motosikal melempar botol berisi bahan letupan itu dari luar pagar gereja
berkenaan sebelum melarikan diri.
"Kita telah menghantar pasukan forensik untuk menjalankan siasatan di
lokasi kejadian dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
bagi mengenal pasti identiti suspek," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Katanya, siasatan mendapati hanya satu daripada bahan letupan yang diisi
dalam dua botol minuman keras itu meletup sehingga menyebabkan
kebakaran bagaimanapun tiada kerosakan serius dilaporkan.
Beliau berkata, polis telah mengambil keterangan daripada penjaga gereja
yang menyaksikan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun
dan denda, jika sabit kesalahan.
Abdul Rahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau
kumpulan tertentu yang cuba menggugat ketenteraman awam dengan
menimbulkan kekacauan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat di
negeri ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menerima sembilan laporan
berhubung isu kain rentang berbaur provokasi berkaitan kalimah Allah
yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini semalam.
Susulan insiden itu, polis menjalankan rondaan termasuk di 48 gereja di
sekitar Daerah Timur Laut bagi memantau perkembangan keadaan, katanya.
Semalam, kain rentang bertulis 'Allah is Great (Allah Maha Besar), Jesus
is the son of Allah' (Jesus adalah anak lelaki Allah) dilihat
digantung di pekarangan beberapa buah gereja dan sebuah perhentian bas
di negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan