KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dari segi teknikal umat Islam di negara ini yang mendaftar untuk menunaikan haji terpaksa menunggu 50 tahun sebelum dapat berbuat demikian.
Beliau berkata ketika ini terdapat 1.2 juta daripada 8.2 juta pendeposit Tabung Haji (TH) sedang menunggu giliran menunaikan ibadat itu.
"Bagaimana tempoh waktu menunggu akan menganjak kurang daripada tempoh yang diberitahu ketika mendaftar atas pelbagai faktor antaranya ada yang dipilih meninggal dunia atau mengalami sakit berpanjangan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Haji dan TH Hotel Sarawak, Sabtu.
Majlis dilakukan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.
Jamil Khir juga menegaskan kuota jemaah haji negara ini tidak dibuat mengikut negeri bagi mengelakkan 'kesesakan' yang mungkin berlaku di sesetengah negeri.
Mengenai kompleks dan hotel itu, Jamil Khir yakin kewujudan kemudahan tersebut akan melancarkan operasi haji di Sarawak.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Taib menyeru bakal haji di negeri itu menggunakan sebaik mungkin kemudahan tersebut apabila beroperasi kelak.
"Kepada jemaah haji ambil peluang ini untuk belajar sebaik mungkin daripada Tabung Haji kerana nama Tabung Haji sangat 'besar' dan dihormati di seluruh dunia.
"Saya masih ingat pada 1976 ketika kapal haji Malaysia terbakar, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak telah meminta saya untuk mencari kapal terbang bagi kemudahan jemaah haji. Oleh kerana nama Tabung Haji sangat dihormati, New Caledonia Airlines berusaha bersungguh-sungguh membantu kita termasuk membantu menyewa kapal terbang dari syarikat lain," katanya.
Kompleks Tabung Haji dan TH Hotel itu akan dibangunkan oleh TH Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TH, di atas tanah seluas 2.4 hektar dengan kos RM204 juta dan dijangka siap pada Februari 2017.
Kompleks yang dibina di lokasi strategik berdekatan Lapangan Antarabangsa Kuching dan Kuching Sentral itu bakal mempunyai bangunan hotel sembilan tingkat dengan 235 bilik selain dilengkapi pelbagai kemudahan lain. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan