Zulkifli Yahaya, |
|
ANTARA soalan menarik dalam menganalisis keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau adalah mengapa berlaku kemerosotan undi PAS serentak menyumbang kepada pengurangan majoriti berbanding pilihan raya umum ke-13 (PRU13)?
Pada PRU13 majoriti diperolehi calon PAS, Ustaz Azizan Razak adalah sebanyak 2,774 sedangkan kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samat hanya memperolehi majoriti 1,084. Ia mengingatkan kita kepada majoriti yang diperolehi oleh Ustaz Azizan sewaktu mengalahkan Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah iaitu sebanyak 1,080 pada PRU 2004 - kurang hanya empat undi.
Sebab yang terang lagi bersuluh mengapa berlaku kemerosotan majoriti kali ini adalah ini pilihan raya kecil, bukan pilihan raya umum. Pelbagai kementerian Kerajaan Pusat, badan berkanun, GLC, pihak swasta yang pro-BN bergabung kekuatan dengan kerajaan negeri dengan kekuatan logistik dan sumber dana yang berjuta-juta menghadapkan serangan kepada PAS sebagai sebuah parti politik!
Analoginya macam Amerika Syarikat sebagai sebuah negara berperang dengan tentera Sulu. Layakkah? Demikianlah rakyat patut bertanya layakkah kerajaan Pusat dan Negeri (atas nama BN) berlawan dengan PAS sebuah parti politik pembangkang? Pihak yang mempersoalkan kemerosotan undi PAS sepatutnya merasa hairan, kerana logiknya PAS bukan setakat patut kalah tetapi hilang deposit!
Para penghitung janji BN melaporkan, parti berimej rasuah itu membelanjakan kira-kira RM15.5 juta dalam kempen mereka di Sungai Limau. Jumlah itu meliputi RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.
Portal berita Malaysiakini melaporkan BN juga mengagihkan bantuan sebanyak RM2.8 juta untuk bantuan perumahan dan cermin mata percuma, RM802,700 untuk program Bantuan Azam Tani Mara, RM2.5 juta untuk tukun tiruan dan RM500,000 untuk jeti perikanan. Ia tidak termasuk RM300,000 untuk Masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru prasekolah agama Kafa dan 33 masjid, RM30,000 dalam bentuk pinjaman Tekun serta RM19,700 dalam bentuk zakat dari Agrobank.
Semua itu diterjemahkan kepada peningkatan undi BN hanya sebanyak 465, bermakna kos satu kepala untuk membeli undi BN ialah RM32,258. Nah, apa yang hendak dibanggakan.
Tidak dapat dinafikan bahawa Ustaz Azizan dahulu mempunyai sokongan peribadi, selain dari sokongan berasaskan parti. Mereka adalah saudara mara dan kenalan beliau, juga orang yang mengkaguminya kerana Menteri Besar. Dahulu mereka ini mengundi PAS dan kini beralih mengundi BN. Jumlah itu juga terkandung dalam 465 undi tersebut, jadi pencapaian sebenar BN nampaknya indah khabar dari rupa.
Dalam ruangan yang terhad ini saya tidak berniat untuk memperincikan bagaimana mewahnya BN berbelanja dalam pesta membeli undi, tapi percaya ramai akan geleng kepala dengan tindakan BN ‘merasuah’ pengundi. Ia sungguh luar biasa dan ‘gila-gila’.
PAS kehilangan 1,225 undi dari perolehan PRU13 lalu. Peratus keluar mengundi kali ini berkurang sebanyak 4.5 peratus iaitu 1,100 berbanding PRU13. Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar mendakwa ramai pengundi PAS tidak pulang adalah antara faktor kemerosotan majoriti. Dakwaan itu betul, namun ia bukanlah satu-satunya sebab yang menyumbang kemerosotan kerana kalau semua 1,100 (jumlah yang berkurang) adalah pengundi PAS pun ia belum mencecah majoriti 2,774 yang diperolehi dahulu. Perlu juga diambil kira bahawa sebahagian kecil yang tidak pulang itu juga adalah penyokong BN.
Pengundi Cina
Adakah pertambahan 465 undi BN itu, sebahagian besarnya datang dari pengundi Cina yang merupakan 1,800 dari jumlah pengundi keseluruhan? Arah aliran undi Cina sangat sukar dikenal pasti, lebih-lebih lagi dalam PRK. Tidak seperti orang Melayu yang tidak menunjukkan sokongan kepada parti yang tidak disukai, orang Cina menampakkan diri mereka menyokong semua parti. Mereka mengangguk dan berkata “ya” kepada semua parti yang datang berkempen. Malahan dalam PRU13 lalu, orang Cina hadir beramai-ramai ke majlis jamuan makan anjuran BN tetapi beramai-ramai pula menolak BN.
Terdapat dakwaan sebelum ini bahawa masyarakat Cina mahu mengambil langkah selamat memandangkan mereka adalah minoriti di Sungai Limau, lantas memilih BN untuk PRK. Oleh kerana bilangan pemilih Cina adalah kecil dan berselerakan di merata daerah mengundi, maka sukar untuk mengesan kecenderungan mereka. Tetapi kita dapat mengesan bahawa undi BN meningkat banyak di Simpang 3 (BN menang 397 berbanding 46 pada PRU13) iaitu peti undi Cina paling ramai, iaitu sebanyak 380 dari 1433 pemilih.
Begitu juga di Titi Batu, BN menang dengan majoriti 163 sedangkan PRU13 kalah 276. Di samping faktor keluarga calon BN, daerah mengundi ini menyumbang sejumlah 217 pemilih Cina. Di Kabu 10, PAS kalah 106 undi sedangkan PRU13 pas menang 87 undi. Peti undi ini juga terdapat pengundi Cina yang agak ramai iaitu 197 undi. Berdasarkan keputusan tersebut saya mengesyaki sebahagian pengundi Cina yang dahulunya menyokong PAS kini beralih kepada BN tetapi tidaklah melebihi 50 peratus dari jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi.
Isu semasa
Kecenderungan pemilih membuat pilihan selalunya dikaitkan dengan isu semasa, namun perkara ini tidak terpakai untuk PRK Sungai Limau. Kajian yang dibuat oleh Ilham Center menemui kebenarannya, iaitu hanya 4 peratus dari pemilih dianggarkan membuat keputusan berdasarkan isu. Sejumlah 81 peratus membuat keputusan berdasarkan parti politik yang mereka sedia sertai atau menyokongnya. Kira-kira satu pertiga dari kekuatan jentera bertumpu kepada gerakerja kempen penerangan yang tentunya berkaitan dengan isu semasa, sedangkan hanya 4 peratus yang menjadikannya faktor pembuat keputusan. Situasi yang agak ganjil ini berlaku di Sungai Limau.
Sebab itu agaknya BN memilih strategi menghulur habuan kebendaan sebagai senjata utama menghadapi semua golongan, khususnya golongan atas pagar yang membentuk kira-kira 10 peratus jumlah pengundi. Ia beretepatan dengan kajian yang menunjukkan bahawa majoriti golongan atas pagar menjadikan; siapa yang dapat menghulur lebih banyak habuan kebendaan maka parti itu akan disokong. BN mempunyai kelebihan di sini.
Mukhriz (gambar) seawal permainan sudah mengumum tidak akan menjawab serangan oleh pembangkang. Serangan terhadap Menteri Besar itu sangat agresif dan saban hari pelbagai isu ditujukan kepadanya. Ia melibatkan kegagalannya walaupun baru lima bulan mentadbir.
Serangan lain adalah isu tekanan kos hidup akibat kenaikan harga barang, cadangan GST dalam Bajet 2014, Laporan Audit 2012, desakan kenaikan harga padi dan juga kelemahan infrastruktur jalan dan air di Sungai Limau. Semua isu itu menyentuh kehidupan penduduk Sungai Limau tetapi BN berjaya mengalpakan pemikiran rakyat untuk sementara terhadap isu-isu tersebut dengan pemberian habuan duniawi. Memang BN sentiasa menang dalam perkara ini.
Sementara itu, BN lebih gemar bermain dengan isu picisan seolah-olah tidak menghormati tahap pemikiran rakyat Sungai Limau. Antaranya mengungkit kembali konflik PAS Kedah suatu ketika dahulu, ‘PAS alat DAP’, kafir mengkafir, putarbelit isu kalimah Allah, Anwar – kesemuanya dari piring hitam rekod cap anjing yang rakyat umum sudah terlalu bosan mendengarnya akibat sering diulang-ulang. BN kalah dalam aspek isu semasa.
PRK Sungai Limau bukan penentu kerajaan. BN menghadapinya dengan segala kekuatan selayak mempertahankan sebuah kerajaan. Ia berpunca dari keegoan bahawa BN masih gagah walaupun imej kegagahan itu dibeli menggunakan jutaan ringgit wang rakyat. Rakyat terbanyak di Sungai Limau menghukum BN.
Tak apalah BN sekurang-kurang boleh mendabik dada mereka ‘menang dalam kalah’. Menang dalam kalah kali kedua berturut-turut bagi Mukhriz selepas kekalahan Naib Presiden Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan