DUNIA pendidikan tinggi global sedang dilanda gelora yang positif. Pertanyaan yang sedang diajukan: apakah pendidikan tinggi berkaitan dengan pengetahuan atau kebergunaan?
Dikotomi: Dikotomi ini sebenarnya agak naif. Matlamat terbesar pendidikan bukan pengetahuan, tetapi tindakan. Pemikiran yang cemerlang mesti diiringi dengan penyelesaian yang praktikal menurut keperluan zaman. Intipati pengetahuan adalah penerapan. Pada masa yang sama, “matlamat-matlamat idealistik” pendidikan mesti sentiasa dipelihara.
Matlamat idealistik: Universiti yang layak memakai gelaran “universiti” harus menjadi gedung pengetahuan dan hikmah masa silam; sebuah wadah seni, budaya dan sains, selain sebagai cerminan bagi warisan kemanusiaan yang agung. Seperti kata Whitehead, ia harus menjadi tempat bagi kegiatan pemikiran dan wadah serta tadahan bagi keindahan dan rasa kemanusiaan.
Sistem pendidikan yang hidup perlu digerakkan ke arah penerokaan kreatif, kebebasan berfikir, kesanggupan untuk merentas sempadan intelektual dan mencabar kepercayaan yang telah lama terpahat. Matlamat pendidikan ialah untuk mengajar kita bagaimana berfikir dan bukannya apa yang perlu difikirkan.
Universiti perlu menjadi tempat pemupukan budaya kajian; penjanaan pengetahuan baru; medan menguji wawasan baru bagi masa depan. Malangnya, kebanyakan sukatan pengajian serta kaedah pengajaran dan penilaian masih menghalang perasaan ingin tahu dan cenderung mengikdoktrinasi serta menundukkan minda supaya akur pada kebiasaan. Universiti telah menjadi tempat “menggilap kelikir dan memudarkan berlian.”
Selain mengajar kemahiran profesional, universiti seharusnya membina watak dan menyediakan kemudahan untuk pembangunan individu yang menyeluruh. Ia seharusnya memupuk nurani sosial dan sudut pandang kemasyarakatan.
Kurikulum universiti sepatutnya dibentuk untuk melibatkan kakitangan dan pelajar dalam kegiatan mengembangkan masyarakat serta khidmat kemasyarakatan. Fakulti-fakulti universiti sepatutnya menjadi jambatan antara kecenderungan terhadap bidang kerjaya dan kecenderungan terhadap manusia. Kurikulum universiti seharusnya memberi penekanan terhadap soal pembaharuan dan perubahan serta rekayasa sosial.
Universiti perlu membantu proses pembangunan negara dan mengukuhkan pemahaman serta perhormatan terhadap budaya dan tradisi yang berbeza-beza. Di zaman pengantarabangsaan ini, pendidikan universiti seharusnya menawarkan sudut pandang global.
Pada masa yang sama, dalam konteks Asia, sudut pandang dunia ketiga tidak harus diabaikan.
Universiti-universiti Asia perlu membina kota pengetahuan mereka dengan memanfaatkan kekayaan dari pelbagai sumber. Itulah globalisasi sebenar.
Universiti perlu membuka pendidikan kepada semua, kerana pendidikan adalah unsur yang paling mampu menyetarakan keadaan manusia. Pelbagai jenis pelajar perlu diikut-sertakan. Ruang mesti diberi kepada pelajar miskin, golongan terpinggi dan minoriti. Para pentadbir pendidikan harus turut merasa terangsang oleh “darjah usaha” dan bukan hanya oleh “darjah kecerdasan”.
Bucu perubahan: Walaupun di kalangan kita banyak orang yang mendakap wawasan idealistik dan holistik bagi institusi pengajian tinggi, kita tidak patut menutup mata terhadap perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita. Idealisme semakin membuka ruang kepada pragmatisme dan faham kefungsian.
Matlamat utama universiti hari ini ialah untuk membina kerjaya dan bukan watak. Pendidikan hari ini ialah untuk cari makan, bukan untuk belajar. Kita menjadi hamba kepada Lembaga Kelayakan bidang kerjaya kita. Lembaga itu yang menentukan watak dan kandungan kurikulum kita.
Pendidikan liberal dalam bidang bahasa, persuratan, dan ilmu kemanusiaan sedang dipinggirkan. Pendidikan yang mempunyai asas yang meluas digantikan oleh pendidikan yang memberi tumpuan terhadap kepakaran secara keterlaluan. Pelajar semakin banyak mengetahui perkara cabang.
Di Asia dan Afrika, pengangguran di kalangan graduan semakin tinggi. Berjuta-juta graduan dihasilkan, tetapi tiada pekerjaan menanti mereka. Orang mula meragui sejauh mana pendidikan tinggi dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan.
Apakah tumpuan perlu dialihkan kepada latihan vokasional? Apakah pendidikan tinggi perlu dirumus semula untuk memungkinkan graduan bekerja sendiri dan menjadi usahawan agar mereka dapat membuka peluang kerja kepada orang lain dan bukannya membanjiri pasaran pekerjaan?
“Sinergi industri-universiti” kini menjadi ungkapan kegilaan. Universiti tergila-gila tentang soal pasaran, perniagaan dan tahap keupayaan pelajar untuk diambil bekerja. Pelajar menjadi pelanggan yang hanya peduli tentang soal mendapatkan kerja.
Wilson Report di UK tanpa rasa malu menyebut tentang universiti sebagai sebahagian daripada “perniagaan rantaian pembekalan kemahiran dan inovasi” yang rencam! Di zaman sekarang, menjadi trend untuk universiti memaksa ahli-ahli akademik supaya mempromosikan keusahawanan sebagai sebahagian daripada kerja mereka. Dilema di sini ialah apabila sebahagian kita memilih menjadi pengajar kerana tidak suka dengan dunia perniagaan dan perdagangan serta kerana ingin melibatkan diri dalam kerjaya yang idealistik dan bukan-komersial.
Naib canselor, dekan dan pensyarah dinilai berdasarkan kemahiran keusahawanan mereka dan jumlah dana yang berjaya mereka dapatkan. Universiti sedang membangunkan model perniagaan dan dipaksa untuk bergerak seperti syarikat komersial walaupun ia bukan sebuah entiti perniagaan yang sebenar.
Penyelidikan kini dianggap sebagai sebab utama universiti wujud. Penekanan terhadap penyelidikan adalah baik, tetapi ia dapat menghasilkan beberapa kecenderungan buruk. Pengajaran sedang mula diabaikan. Pensyarah mula enggan memegang jawatan pentadbiran. Pengajar-pengajar yang komited diabaikan dalam soal perjawatan dan kenaikan pangkat berbanding para penyelidik yang berdaya keusahawanan.
Universiti tergila-gilakan penarafan dan lanun-lanun dalam industri penarafan mengaut ganjaran besar.
Internet mengubah dunia pendidikan sama seperti ia mengubah dunia media, hiburan dan peruncitan.
Kaedah baru pengajaran dan pembelajaran mula muncul. Sebahagian perkara dalam penyelidikan menjadi tidak perlu. Pengajian jarak jauh dan kursus berasaskan web menjadi kebiasaan. Menerusi kurus-kursus ini, pembelajaran kendiri diperluaskan kepada golongan dewasa yang ingin “mengulang pelajaran”.
Antara perkembangan buruk internet ialah ia memudahkan plagiarisme. Terdapat banyak isu etika yang terlibat dalam penggunaan maklumat umum dalam ruang umum.
Kesimpulannya, pendidikan tinggi berada dalam keadaan tidak menentu. Perkembangan-perkembangan baru menghasilkan perubahan radikal pada cara kita melihat peranan universiti dalam masyarakat.
Tidak semua orang bergembira dengan perubahan ini. Namun, kita terpaksa berdepan dengan realiti; meredakan perkara-perkara yang mampu kita kawal dan cuba menerima perubahan yang tidak dapat dihindari.
> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan