NASIB malang bertimpa-timpa. Itulah yang bakal ditanggung penghuni kota raya Kuala Lumpur bila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai taksiran hartanah melampau-lampau hingga lebih 100 peratus mulai 1 Januari tahun depan.
Maknanya, semua pemilik rumah dan premis di KL terpaksa membayar cukai taksiran yang jauh lebih tinggi daripada biasa. Sudahlah harga petrol diesel naik, gula pun naik, GST nak masuk, sampai cukai taksiran pun nak mengikut jejak yang sama.
Dengan pelbagai macam kenaikan itu, sudah tentu pemberian BR1M dan yang semacam itu tidak berbaloi. Bak kata orang, dah bagi ambil balik; buruk siku namanya.
Lalu berkatalah Tengku Adnan menarik simpati, mempertahankan cadangan kenaikan itu dengan menyatakan cukai taksiran tidak pernah naik sejak 21 tahun lalu.
Dia juga berkata, harga hartanah pun dah naik dan merupakan kriteria yang boleh ditimbangkan untuk kenaikan cukai taksiran ini.
Tetapi, Tengku Adnan mungkin terlepas pandang. Isunya bukan sudah lama tak naik cukai atau harga hartanah dah naik tetapi adakah kenaikan itu masuk akal dan wajar di saat kita diarah berjimat ikat perut kurangkan gula dan segala macam lagi?
Macamlah dia tak tahu, dengan pertambahan memberangsangkan pembangunan perumahan dan sebagainya, sudah tentulah ia menambah pendapatan DBKL. Dia tak akan rugi pun.
Bukannya apa, kalau pemilik rumah teres masa ini dikenakan cukai taksiran RM5,400, kenaikan cukai baru itu akan menyebabkan pemilik kena bayar RM13,800 dengan kenaikan 155 peratus!
Kalau anda duduk di flat kena cukai RM2,280, lepas kenaikan, anda terpaksa keluarkan duit sebanyak RM4,800! Bukannya sikit…
Maka benarlah yang dikata Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, kalau cadangan ini dibuat, kemungkinan besar akan wujud tindak balas rantaian.
“Pemilik akan menaikkan kadar sewa dengan lebih tinggi. Kehidupan pasti akan lebih membebankan. Bukan penyewa rumah sahaja tetapi peniaga yang menyewa. Kalau sewa kedai naik, bagaimana pula dengan harga barangan?”
Cabai Burung tengok, makin melampau-lampau BN belasah kita. Yang lagi teruk kena belasah lepas ni sudah semestilah orang KL, mungkin sebab dengki BN meluap-luap sebab tak pernah menang di sini.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan