Jika disoroti dua kali percubaan Mohamad Sabu merebut jawatan timbalan presiden - 2009 dan 2011 - beliau berdepan pertembungan tiga penjuru. Percubaan kali pertamanya gagal tetapi menang pada penggal berikutnya.
Kegagalan persaingan kali pertama dengan Nasharudin Mat Isa - yang mewakili kumpulan proulama - kerana pepecahan sokongannya dengan Datuk Husam Musa yang turut menawarkan diri bertanding jawatan itu, mewakili kumpulan profesional.
Bagaimanapun percubaan aktivis PAS itu bagi kali kedua berjaya, selepas sokongan penyandangnya Nasharuddin dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpecah.
Namun, dalam pemilihan PAS kali ini, Mohamad berdepan dengan situasi jauh berbeza apabila beliau dicabar Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam persaingan dua penjuru.
Sudah pasti, kedua-dua calon khususnya Mohamad berdepan risiko untuk mempertahankan jawatannya kerana akan berdepan saingan sengit, apatah lagi sokongan kumpulan proulama dilihat padu pada Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam 22 November depan.
Mampukah tokoh mesra dipanggil 'Abang Mat' ini mampu mempertahankan jawatan yang disandangnya di kala beliau berdepan dengan kumpulan proulama - yang menjadi teras kekuatan PAS sejak dahulu lagi?
Atau sediakah Mohd Amar menggunakan sepenuhnya keupayaan sebagai pemimpin berpendidikan agama dan pengalamannya sebagai bekas exco kerajaan negeri Kelantan untuk menyaingi jawatan sekaligus mengembali penguasaan ulama itu bagi jawatan itu?
Di atas kertas, Mohamad dilihat berpeluang mempertahankan jawatannya berbanding Mohd Amar memandangkan bekas tahanan ISA itu dilihat sebagai pemimpin nasional yang telah dikenali dan sentiasa mendapat perhatian umum termasuk perwakilan.
Jika diukur daripada sudut populariti, Mohamad yang mesra dipanggil 'Mat Sabu' lebih dikenali oleh perwakilan berbanding Mohd Amar, berdasarkan kemunculan mereka dalam ruang politik yang lebih besar.
Mohamad antara pemimpin boleh 'menarik khalayak' khususnya ketika beliau mengetuai perhimpunan besar. Malah ceramahnya sentiasa mendapat perhatian dengan celoteh dan kelantangannya.
Disenangi anak muda, bukan Islam
Perwatakannya yang disenangi golongan muda dan bukan Islam termasuk sebagai jambatan menghubungkan PAS dengan Pakatan Rakyat dan NGO, antara kelebihan kepadanya.
Mohd Amar pula lebih dikenali di peringkat negeri dan dilihat tidak menonjol sebagai pemimpin PAS di peringkat nasional berbanding dengan pemimpin PAS yang lain khususnya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
Walaupun sebelum ini pernah dipilih sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat, ada pihak yang masih tidak mengenali timbalan menteri besar Kelantan itu dengan lebih rapat berbanding Mohamad.
Persepsi 'kurang senang' juga mungkin timbul di kalangan perwakilan di mana sepatutnya beliau merebut jawatan naib presiden terlebih dahulu, berbanding jawatan timbalan presiden, sekalipun beliau dicalonkan bagi jawatan itu.
Ini kerana, PAS sendiri tidak mentarbiyah ahli dan pendokongnya berebut-rebut jawatan dan sentiasa menginsafi bahawa amanah kepimpinan merupakan satu beban yang berat.
Walaupun masih belum teruji sepenuhnya pengalaman mentadir kerajaan negeri, tetapi memegang jawatan timbalan menteri besar dan pernah menjadi exco kerajaan negeri sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Mohd Amar.
Umum masih mengingati keputusan pemilihan 2011 menyaksikan Mohamad menang tipis dengan 420 undi berbanding Tuan Ibrahim (399) dan bekas timbalan presiden Nasharudin (224).
Mohamad menang tipis 21 undi sahaja dengan Tuan Ibrahim. Jika dicampurkan jumlah undi Tuan Ibrahim dan Nasharuddin - dilihat mewakili kumpulan proulama - Mohamad tewas dengan majoriti agak tinggi.
Oleh itu, sudah mula kedengaran cakap-cakap, jika Tuan Ibrahim melawan Mohamad, kemungkinan besar, pemimpin yang pernah ditahan ISA itu berdepan laluan sukar untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden buat kali kedua.
Ini disebabkan Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mendapat pencalonan terbanyak di peringkat kawasan dan sudah pasti kemenangan pasti memihak kepada bekas pensyarah bagi jawatan teersebut.
Apabila dilihat tiada pepecahan sokongan ulama kali ini, mampukah Mohamad 'mencuri' sokongan perwakilan dan kumpulan proulama pada pemilihan kali ini untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya.
Ia bakal terjawab pada 22 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan