Pemuda MIC meminta kerajaan pertimbang beri jawatan senator kepada sayap itu bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada parti dan Barisan Nasional.
  
Penyandang Ketua Pemuda MIC Datuk T Mohan berkata setakat ini, sayap Wanita MIC mempunyai satu jawatan senator sebagai wakil di Dewan Negara.
  
"Peranan Pemuda MIC juga amat besar dalam memperkasa serta memperkukuhkan parti dan BN. Pemberian satu jawatan senator akan membolehkan Pemuda lebih bersuara untuk meningkatkan keperluan belia India," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan agung Pergerakan Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan, di ibunegara hari ini.
  
Perhimpunan itu drasmikan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel.

Sementara itu, Palanivel meminta barisan calon sayap Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan, yang menang mahupun yang kalah, diminta bekerjasama secara lebih
agresif demi memperkasa parti berkenaan.

Beliau juga meminta kira-kira 1,200 perwakilan bagi kedua-dua sayap itu membuat pilihan bijak memilih pemimpin masing-masing, kerana ia dijangka satu persaingan yang sengit dan bakal menentukan hala tuju Pemuda dan Wanita MIC.

"Inilah dua perkara yang ingin saya tegaskan bagi memajukan parti kita. Saya cuma mengharapkan pertandingan yang sihat dan selamat kali ini, dan mahu mereka yang dipilih untuk menerajui sayap Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan untuk bersatu padu dan bekerjasama secara menyeluruh dengan mengambil berat masa depan sayap-sayap itu," katanya di sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan 2013 hari ini
  
Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata seseorang ketua sayap perlu berjuang serta membimbing anggota-anggotanya ke arah kecemerlangan dalam semua bidang.

Palanivel berkata beliau tidak pernah memberi sokongan atau restu terhadap mana-mana calon yang bertanding dan ia adalah satu tindakan tidak sihat jika mereka bertindak melampau sehingga meletakkan gambar beliau dalam poster tanpa kebenarannya.
  
Mengenai perkembangan sayap Puteri dan Putera MIC, Palanivel berkata pemilihan bagi kedua-dua sayap itu tidak diadakan kali ini mereka hanya mempunyai kira-kira 300 anggota sahaja.
  
Ketua Pemuda MIC Datuk T Mohan tidak mempertahankan jawatan kerana telah melebihi tahap syarat usia manakala Ketua Wanita (penyandang) Datin Paduka Komala Krishamoorthy, juga tidak bertanding kerana mahu berundur dari arena politik.
  
Pemilihan ketua Pemuda dan Wanita MIC masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
  
Untuk jawatan ketua pemuda, pertandingan adalah antara Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan dan Setiausaha pergerakan C. Sivaraajh, manakala saingan bagi ketua Wanita membabitkan Setiausaha Wanita MIC kebangsaan M.Vickneswari dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC), Mohana Muniandy.
   
Mereka juga akan memilih dua wakil masing-masing untuk ke CWC, 12 anggota majlis kebangsaan dan 35 perwakilan ke perhimpunan agung parti yang dijadual diadakan di Melaka pada 30 November ini.- Bernama