Khamis, 21 November 2013

Intipan: Halang kapal perang Amerika masuk Malaysia – Tian Chua

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendesak Kerajaan Persekutuan menghalang kemasukan kapal perang Amerika Syarikat (AS) ekoran intipan negara itu terhadap Malaysia.

Katanya, kerajaan juga perlu menghentikan segala kerjasama termasuk menggantung rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) dan dengan ketenteraan AS kerana bimbang ancaman kepada keselamatan rakyat dan negara.

“Kita desak kerajaan menyatakan ketegasan bahawa kedaulatan kita tidak boleh diancam sebegitu.
“Menghentikan segala kerjasama ketenteraan atau menghalang lawatan kapal perang ke pelabuhan-pelabuhan Malaysia sehingga Amerika setuju untuk tidak lagi mengintip dan mencerobohi kedaulatan negara,” katanya membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat, semalam.
PESAWAT
 Terbaru, kapal induk AS, USS George Washington dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor ketika Malaysia dintip negara itu, seperti didedah akhbar Suara Keadilan 12 November lalu.

Sebelum itu, pada 31 Oktober lalu, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pendedahan ‘whistleblower’ Edward Snowden bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

Ekoran itu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat segera mencela perbuatan itu, manakala pentadbiran Perdana Menteri hanya menghantar nota bantahan ke kedutaan AS dan Australia setelah didesak Pakatan berkali-kali.

“Kenapa Kementerian Luar Negeri sangat berlembut dalam hal ini. Bagaimana kerajaan boleh kata intipan tersebut tidak menjejaskan hubungan dua hala kalau kedaulatan dan keselamatan kita dicerobohi,” kata Tian yang juga Naib Presiden KEADILAN.

“Saya harap isu ini dapat dijelaskan selain penegasan dari Kementerian,” kata beliau lagi sambil menggesa Kerajaan Malaysia mencontohi Jerman yang menentang keras setelah mengetahui Presiden negara itu, Angela Merkel diintip.

Untuk rekod, pada 8 Mac 2011, kapal ‘The USS Blue Ridge’, Armada Ketujuh dalam Tentera Laut AS, pernah singgah di Port  Klang Cruise Center (PCKK), kononnya bagi meningkatkan hubungan ketenteraan dengan Malaysia.

Sebelum ini, kapal USS George Washington pernah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 7 Oktober tahun lalu.

Tiada ulasan: