Kegersangan politik politik tanahair, yang telah membawa berbagai-bagai padah yang buruk entah bilakan selesai. Kerajaan hari ini sibuk dengan berusaha untuk memperbaiki keyakinan rakyat terhadapnya, tetapi mereka tidak pun memahami apa kesalahan yang mereka lakukan dan seterusnya mereka tidak tahu bagaimana untuk memperbaikinya.
Bagaimana hendak membetulkan keadaan jika mereka (pemimpin kerajaan) tidak tahu masalah sebenar yang hendak mereka selesaikan itu. Selalu mereka tidak tahu pun apa yang mereka lakukan itu adalah tindakan yang salah. Pendeknya mereka melakukan tindakan salah terhadap isu yang salah dan tidak terjumpa penyelesaian hingga ke akhir.
Sekarang sudah sampai ke tahap yang amat meruncing sehinggakan pimpinan
termasuk pucuk pimpinan melakukan tindakan yang salah dan tidak
menepati maksud untuk membetulkan kesalahan yang mereka sendiri tidak
memahami masalahnya. Negara telah terbiar begitu lama dengan masalah
yang terlalu banyak di lakukan kerajaan. Setiap minggu ada sahaja isu
yang keluar dan terpampang di mata rakyat.
Hari ini isu besar yang kita dengar ialah isu kewibawaan Peguam Negara,
Gani Patail. Isu salah laku Gani Patail berhubung dengan isu kehadiran
dua orang agen CIA di pejabat Peguam Negara menjadi hangat apabila salah
seorang dari dua bekas Perdana Menteri kita telah bertindak
merundingkan apa yang perlu di lakukan terhadap Peguam Negara di atas
beberapa isu yang telah di timbulkan oleh beberapa pihak terhadap Gani.
Diantara isunya, selain dari isu terbaru iaitu tentang kehadiran dua
orang penasihat kepada Peguam Negara dari AS itu, ialah isu yang sering
di timbulkan oleh bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim sejak
beberapa tahun yang lalu. Bekas Ketua CID, PDRM itu telah menulis
beberapa surat terbuka dan begitu lantang menzahirkan apa yang beliau
anggap sebagai salah laku seorang Peguam Negara yang sepatutnya
mempunyai kewibawaannya untuk melihat salah laku yang dilakukan kepada
pengadilan terlaksana.
Datuk Mat Zain telah menunjukkan bukti kukuh yang Peguam Negara telah
menyalahgunakan kuasa dengan menutup isu dan kesalahan besar pimpinan
dan mendiamkan isu yang sepatutnya di ketengahkan. Jika kita ingat
berbagai-bagai isu telah tidak di ambil tindakan semata-mata mereka
adalah dari kumpulan berkuasa dan berpengaruh. Tidak salah tuduhan
setengah pihak jika kesalahan dilakukan oleh mereka yang mempunyai otot
politik maka Gani akan mengambil tindakan membenamkan sahaja isu mereka
yang bersalah itu.
Semuanya ini tidak ada tindakan yang di ambil oleh pimpinan khususnya
oleh Perdana Menteri dan sebahagiannya berlaku semasa pimpinan Dr
Mahathir sendiri. Tindakan Dr Mahathir untuk mengetengahkan isu ini
amatlah baik tetapi Dr Mahathir juga perlu bertanggungjawab kerana
banyak juga isu terhadap Gani ini telah di ketahui umum semasa beliau
menjadi Perdana Menteri dahulu.
Malahan banyak tindakan Gani semasa Dr Mahathir menjadi PM dahulu
menunjukkan yang Gani itu hanyalah ‘conduit’ kepada kemahuan dan
kehendak Dr Mahathir sendiri.
Sekarang isu terhadap Gani semakin hari semakin menggunung tetapi
Perdana Menteri Najib tidak mengambil apa-apa tindakan susulan terutama
dalam isu kehadiran dua pegawai tinggi AS dalam pejabat Peguan Negara
itu sekarang. Walaupun Malaysia merupakan salah sebuah negara yang
menjadi sasaran intipan AS tetapi Gani tetap bersama dua pegawai kanan
AS di dalam Pejabatnya itu.
Bukan sahaja Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri yang bertanggungjawab
terhadap keselamatan Negara sendiri hanya mendiamkan diri dan tidak
nampak tindakan yang di lakukan beliau sehingga hari ini. Isu ini
bukannya isu yang kecil untuk di diamkan begitu sahaja. Apa masalah yang
mereka hadapi sehingga mereka tidak berkata-kata langsung di dalam
rakyat sedang memerhati tindak laku pimpinan yang rakyat begitu tidak
meyakini sekarang ini.
Bagi orang ramai Gani sepatutnya tidak lagi perlu berada di sana dan
sebaik-baiknya ialah dengan berehat dan seterusnya mengundurkan diri
sementara penyiasatan di lakukan ke atas beliau dalam semua tuduhan
terhadap beliau itu. Jawatan itu adalah jawatan penting untuk sebuah
demokrasi kita. Jika tidak di lakukan apa yang sepatutnya, maka tidak
lagilah berhak untuk kita mengaku yang negara kita sebagai negara
demokrasi.
Najib dan Zahid sepatutnya keluar dengan tindakan yang jelas untuk
menyelesaikan isu ini. Berdiam diri adalah pengakuan terhadap berlakunya
isu-isu itu. Bagi pihak ramai sekarang ini jika perkara seperti ini
tidak dapat di selesaikan oleh pucuk pimpinan kita, desakan untuk mereka
meletakkan jawatan sememangnya sudah lama kita dengari. Mereka
sepatutnya mengangkat tangan kepada rakyat tanda menyerah diri di atas
kelemahan mereka menghadapi isu yang begitu besar bagi negara ini.
Percayalah nasib dan keselamatan negara bergantung kepada ketokohan
pimpinan menangani isu yang sangat besar kepada rakyat dan mana-mana
negara sekali pun. Jika pimpinan tidak mempunyai tulang belakang,
mereka sepatutnya bersara. Jangan menyusahkan rakyat kerana
ketidak-mampuan mereka memimpin kita. Walaupun dalam barisan kepimpinan
Tertinggi UMNO sudah tidak punya kepimpinan, ramai lagi pemimpin UMNO
dan dari luar UMNO boleh mengambil alih untuk menyelesaikan semua
masalah yang kita hadapi sekarang.
Blog ini tidak pernah lupa menyeru agar UMNO menukar kepimpinannya
serta merta dan tidak boleh berlengah lagi. Jika UMNO sudah tidak lagi
mampu untuk melakukan perubahan itu maka parti-parti dalam BN wajar
melakukan tindakan perubahan ini jika mahukan BN itu masih relevan
sehingga satu jangka yang lebih panjang lagi.
Masalah dengan BN hanya satu, iaitu masalah kelemahan kepimpinan UMNO.
UMNO itu parti yang menunjangi BN, jika UMNO menjadi lemah maka BN itu
sendiri akan rebah dan akan berakhir usianya. UMNO tidak mampu melakukan
pembetulan untuk mereka sendiri kerana semua yang berada di dalam
barisan kepimpinan iaitu Majlis Tertingginya itu tidak ada yang
berkelayakan untuk melakukan perubahan dan pembetulan diri sendiri itu.
Selagi barisan kepimpinan UMNO yang ada dalam Majlis Tertinggi ini
masih tidak mahu akur tentang hakikat kelemahan mereka selagi itulah
politik tanahair kita tidak akan selesai. Isu-isu besar yang sedang kita
hadapi hasil dari kelemahan dan ketidak ada hala tujuan yang jelas
sebagai pemimpin sebuah negara ini, amat menakutkan rakyat yang sedar
tentang bahayanya. Isu besar bertimbun-timbun, lepas satu isu timbul
isu-isu lain. Belum selesai isu lama isu-isu yang baru datang sebagai
arus air yang amat deras yang akhirnya akan menganjak dan mengalih asas
kepimpinan negara kita dan perjuangan rakyat dalam mengisi kemerdekaan
yang telah kita capai sekian lama itu.
Jika dihalusi sebab yang menyebabkan datangnya isu-isu yang menakutkan
ini, ialah kerana UMNO tidak pernah membina kepimpinannya sejak Dr
Mahathir mengambil alih kepimpinan negara dahulu. Bahananya kita rasai
selepas beliau meninggalkan teraju kepimpinannya. Tidak ada usaha untuk
pembinaan kepimpinan di zaman beliau menjadi PM dahulu menyebabkan kita
terpaksa mewarisi pimpinan yang kosong jiwanya.
Pemimpin yang baik semuanya di bunuh secara beransur-ansur semata untuk
memimpin bersama ‘yes men’ dan ‘yes sir’ di sekeliling beliau. Mahathir
tidask pernah mahu ‘co-exist’ dengan pemimpin-pemimpin berwibawa yang
beliau rasakan akan menjatuhkan beliau.
Sesungguhnya Dr Mahathir itu walaupun kita mendengar kata-katanya
sebagai seorang yang keras tetapi di dalam beliau itu adalah jiwa yang
amat kecil dan jika hendak menjadi pemimpin yang berwibawa pada
pandangan ramai, pemimpin-pemimpin yang beliau takutkan itu terpaksa di
ketepikan dengan bebagai cara yang termampu oleh beliau lakukan.
Akhirnya UMNO sebagai tunjang BN tiada kepimpinan lagi. Pemimpin di
dalam UMNO itu ramai tetapi tidak ada yang berkepimpinan. Itu sebabnya
saya menyeru agar pimpinan parti-parti dalam BN itu wajar melakukan
perubahan itu dan lakukanlah dengan secepat dan se segera yang mungkin
demi menjaga keutuhan Malaysia yang kita cintai ini.
Dalam kes Gani Patail ini, Najib sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyenangkan hati rakyat. Jika Gani telah melanggar undang-undang negara, tetapi Najib tidak juga mahu mengambil tindakan, maka Najib sendiri sepatutnya mengundurkan dirinya secepat yang mungkin kerana Peguam Negara itu adalah 'accountability' kerajaan.http://aspanaliasnet.blogspot.com
Dalam kes Gani Patail ini, Najib sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyenangkan hati rakyat. Jika Gani telah melanggar undang-undang negara, tetapi Najib tidak juga mahu mengambil tindakan, maka Najib sendiri sepatutnya mengundurkan dirinya secepat yang mungkin kerana Peguam Negara itu adalah 'accountability' kerajaan.http://aspanaliasnet.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan