Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden MIC bagi penggal 2013-2016 selepas penamaan calon ditutup hari ini.
  
Keputusan itu diumumkan oleh Presiden parti Datuk Seri G Palanivel selepas proses pencalonan selama dua jam di ibu pejabat MIC ditutup pada pukul 6 petang.
  
Pengumuman itu disambut sorakan kira-kira 1,500 penyokong dan perwakilan yang berkumpul di ibu pejabat parti sejak tengah hari, dan mereka kemudiannya menyerbu ke arah Dr Subramaniam yang berada di pentas utama untuk menyampaikan ucapan tahniah dan memberi kalungan bunga.
  
Ini merupakan kali pertama Dr Subramaniam bertanding bagi merebut jawatan itu selepas dilantik menjawat jawatan nombor dua parti pada 2010.
  
Pada pemilihan 2009, Dr Subramaniam menang jawatan naib presiden sebelum dilantik sebagai timbalan presiden oleh Palanivel pada tahun berikut selepas persaraan Datuk Seri S Samy Vellu.
  
Pada 1 September lepas, Palanivel menang tanpa bertanding jawatan presiden parti.

Pada sidang media selepas pengumuman tersebut, Dr Subramaniam berkata beliau akan terus bekerjasama dengan presiden parti untuk memperjuangkan hak masyarakat India terutamanya dalam segi pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi.
  
"Kita akan terus bekerjasama dan mendokong transformasi yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta menyatupadukan masyarakat India untuk kembali semula kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.
  
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada akar umbi parti yang terus meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membantu memperkasakan kepimpinan parti, demi meneruskan perjuangan untuk masyarakat India.

Dalam pada itu, seramai lapan calon akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden manakala 88 calon akan bertanding merebut 23 kerusi dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
  
Pemilihan parti akan berlangsung sempena Perhimpunan Agung parti di Melaka pada 30 November ini.

Dr Subramaniam menasihatkan semua calon yang bertanding supaya mengamalkan politik bersih semasa berkempen dan tidak terbabit dengan sebarang gejala tidak sihat seperti amalan politik wang.
  
Beliau juga memberi peringatan kepada lebih 1,500 perwakilan supaya membuat keputusan bijak memilih calon naib presiden dan anggota CWC dengan memilih calon berkelayakan, bertanggungjawab dan berkebolehan dalam usaha membawa pembaharuan kepada parti itu.
- Bernama