PORT DICKSON - Pertandingan Kesenian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 yang diadakan di kawasan lapang tepi pantai Batu 1,di sini, malam kelmarin gempar apabila 15 peserta program berkenaan dirasuk.
Kejadian berlaku kira-kira 10 malam, selepas hampir dua jam pertandingan kesenian itu berlangsung dalam perhimpunan yang disertai hampir 1,500 peserta membabitkan 14 kontinjen di kalangan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara.
Perhimpunan bermula pada Khamis lalu dan berakhir semalam, meliputi pelbagai aktiviti seperti ujian kemahiran, kecekapan, kepimpinan dan disiplin.
Difahamkan, mangsa seolah-olah diserang histeria semasa persembahan salah satu kontinjen yang membawa persembahan Ulek Mayang, manakala sebelum ini satu lagi kontinjen mempersembahkan tarian Kuda Kepang.
Sebahagian mangsa yang dirasuk berlari menuju ke kawasan pantai yang jaraknya kira-kira 20 meter dari lokasi pentas pertandingan kesenian dan ada yang berlari ke kawasan khemah logistik himpunan tersebut.
Beberapa pengamal ilmu perubatan Islam dipanggil bagi memulihkan mangsa, selain peserta lain bersama-sama mengalunkan zikir. Sebahagian peserta yang diserang histeria turut dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian untuk dipulihkan.
Difahamkan, kesemua peserta himpunan menginap di beberapa hotel berhampiran kawasan himpunan dan mereka tidak melakukan aktiviti perkhemahan.
Salah seorang peserta persembahan Ulek Mayang, Nazar Mohd Amin, 22, berkata, beberapa minit selepas dia bersama rakannya membuat persembahan atas pentas, dia yang memakai pakaian tradisional Ulek Mayang menyedari di sekelilingnya ada beberapa penari latar, selain rakannya yang turut mengiringi persembahan itu.
“Saya perasan seperti ada penari latar kanak-kanak yang memakai baju berwarna warni serta ada seorang gadis seakan-akan tuan puteri turut berada di dalam kumpulan kami membuat persembahan.
“Saya mula menyedari ada sesuatu yang ganjil berlaku dan segera beristighfar dan berzikir kemudiannya pengsan. Sebaik tersedar saya rasa badan sangat lemah,” katanya.
Sementara salah seorang peserta yang menonton pertandingan kebudayaan itu, Nurul Ain Kasar, 25, berkata, dia duduk di hadapan pentas bersama rakan-rakannya.
“Semasa persembahan kuda kepang ada beberapa di kalangan kami turut menari seperti rentak kuda kepang seiring dengan peserta yang membuat persembahan di atas pentas.
“Tidak lama kemudian, penonton yang menari itu jatuh dan keadaan menjadi kelam-kabut. Saya pun bangun untuk pergi kekelompok rakan yang lebih tenang, namun rasa seperti ada sesuatu yang menarik saya dari belakang sehingga saya terjatuh.
“Kemudian saya bangun semula dan rakan-rakan yang saya hampiri semuanya melarikan diri dalam keadaan ketakutan tidak mahu menghampiri saya. Selepas itu saya tidak ingat apa yang berlaku,” katanya.
"Sebaik sedar, badan saya sangat lemah dan rakan-rakan memaklumkan semasa kejadian, muka saya berubah seperti seorang perempuan yang sangat tua dan menakutkan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Sulaiman Keling berkata, insiden berkenaan berlaku tanpa diduga namun ia berjaya dikawal dan diatasi dengan baik oleh petugas himpunan berkenaan.
“Kita yakin faktor keletihan menjadi punca utama kejadian ini berlaku. Pada siang hari sebelum insiden ini berlaku, semua perserta menjalani aktiviti pertandingan kemahiran selain dengan cuaca di tepi pantai yang panas.
“Saya juga yakin insiden yang berlaku ini tidak akan mematahkan semangat anggota JPAM yang terlibat kerana apa yang berlaku ini adalah salah satu antara cabaran yang mereka hadapi ketika melaksanakan tugas di lapangan, malah dalam sesetengah kes ia lebih mencabar daripada apa yang berlaku semalam (kelmarin)," katanya selepas menyempurnakan Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 di Batu 1 Jalan Pantai,di sini semalam.
Beliau berkata, semua anggota JPAM dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi dan dalam insiden itu, sama ada peserta yang terlibat ataupun di kalangan rakan-rakan yang menyaksikan, boleh mengatasinya dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan