Sabtu, 23 November 2013

Bekas mufti Perlis dan mufti Kedah “berperang mulut”

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK























Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) mencabar Mufti Kedah, Datuk Badarudin Ahmad melakukan sumpah laknat atas segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya jika enggan menarik balik tuduhan sebelum ini.

Bekas Mufti Perlis itu berkata, Badarudin dalam satu rakaman memfitnah dirinya berhubung isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi Muhammad serta tidak membenarkan umat Islam solat tarawih lebih daripada lapan rakaat.

“Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan dibuat oleh Mufti Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu Wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.

“Isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi Muhammad termasuk tentang rambutnya jika hendak dikaitkan dengan saya, adalah dusta. Sesiapa yang menonton video saya di YouTube akan mengetahui pendirian saya tentang hal tersebut. Saya tidak nafikan tetapi berusaha memberikan makna dan panduan,” katanya dalam tulisan di blognya DrMaza.com.

Beliau berkata, Badarudin juga jelas memfitnahnya apabila mendawa dirinya tidak membenarkan umat Islam di Perlis solat tarawih melebih dari lapan rakaat bahkan menganggap akan masuk neraka sesiapa yang bersolat lapan rakaat ke atas.

Katanya, fitnah yang amat besar oleh Mufti Kedah itu apabila mendakwa dirinya  menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera sambil meminta Badarudin mencari di mana kenyataan seperti itu pernah diucapkan.

“Sejak sekian lama artikel saya tersiar di blog dan media tentang solat tarawih. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi sendiri tidak pernah menetapkan bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat sehingga apabila hendak masuk waktu Subuh kemudian berwitirlah.

“Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah. Jika tidak, saya mengajak beliau bermubahalah iaitu sumpah laknat atas nama Allah. Jika saya menyebut seperti tuduhan beliau maka laknat Allah ke atas saya. Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau,” katanya.

Tiada ulasan: