Ahad, 27 Oktober 2013

Orang tua berkenan dengan Azam macam cucu mereka

Hazayani Zakaria,
 

JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat bukan sahaja disenangi anak muda malah turut disukai orang tua.

Lahir dalam keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kuat dan berdarah pendidik merupakan kelebihan yang dimiliki Azam.

Perkara tersebut terpamer sewaktu Azam hadir meraikan sambutan Hari Warga Emas di Batu 15, dekat sini semalam yang dihadiri 500 warga emas.

Ketika Azam menyantuni hadirin di hadapan pentas, terdengar seorang lelaki 60-an di belakang memberitahu kawan di sebelahnya bahawa dia mengenali Azam sejak Azam kecil dan rapat dengan datuk Azam.

"Saya kenal dia ni (Azam), dulu waktu kecil-kecil selalu ikut tok wan (datuk) mai (datang) rumah. Kalau yang ini jadi calon, elok sangatlah," katanya.

Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata, jika pengundi Sungai Limau memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, beliau akan cuba sedaya upaya berbakti kepada masyarakat, seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

"Terpilihnya saya sebagai calon, mungkin Allah mahu buka ruang yang lebih untuk saya berbakti kepada masyarakat dengan lebih luas.

"Saya berharap Allah beri kekuatan untuk saya  berbakti di Dun Sungai Limau ini tanpa membezakan fahaman politik seperti yang dibawa ulama terdahulu.

"Saya mengharapkan dan merayu ibu, bapa, tok wan, tok sekalian supaya dapat mengekalkan kemenangan PAS di Sungai Limau," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Pada program semalam juga, seramai empat orang warga tua diraikan hari jadi mereka dengan acara memotong kek.

Azam sendiri sempat menyuapkan kek kepada beberapa warga tua pada program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah PRK Sungai Limau Datuk Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah pada sidang media hari ini berkata, rata-rata pengundi warga emas yang ditemui menyokong Azam sebagai calon PAS.

Katanya, setakat ini pengundi Sungai Limau memberikan sambutan yang baik terhadap kempen PAS.

"Kempen setakat hari ini cukup baik dan saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi di Dun Sungai Limau.

"Ada tempat yang duku kita tak boleh masuk sekarang boleh masuk dan ini perkembangan yang cukup membanggakan.

"Orang tua cukup berkenan dengan Ustaz Azam ini macam anak cucu mereka sebab mereka pernah mengaji dengan tok dia, dengan tok wan dia.

"Anak muda pun gembira dengan calon yang memenuhi cita rasa mereka," katanya.

Datuk Azam, Hamid Ibrahim pernah bertanding di Dun Sungai Limau yang dahulunya dikenali dengan Dun Sala pada Pilihan Raya Umum tahun 1959.

Azam merupakan anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjawat jawatan Pengarah Jabatan PASTI negeri dan juga Exco Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK).

Tiada ulasan: