KUALA LUMPUR - Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta kerjasama orang ramai mengesan waris kepada seorang warga emas yang ditemui tanpa identiti sejak September lalu.
Jurucakap HKL berkata, warga emas dikenali dengan nama Bukhari Faisol berusia sekitar 80-an telah dibawa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan & Trauma, HKL oleh orang ramai dan dimasukkan ke wad kerana hampir pengsan di tepi jalan dan mengalami cellulitis (radang kulit).
Menurutnya, warga emas itu kemudiannya dimasukkan ke wad perubatan di sini sejak 21 September lalu, dan kini dibenarkan keluar namun kegagalan pihak HKL mendapatkan maklumat berhubung ahli keluarga terdekat membuatkan dia terus berada di wad berkenaan.
“Pesakit menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi memandangkan beliau mengalami masalah pendengaran yang kronik.
“Pihak hospital juga gagal menemui sebarang dokumen seperti pasport bagi mengesan alamat terakhir beliau dan tiada sebarang nombor telefon waris untuk dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, ketika ditemui Sinar Harian, warga emas itu mendakwa tinggal di sebuah surau sekitar Taman Ibu Kota bersama isteri dan tiga anaknya.
Warga emas itu juga mengakui berasal dari Jawa Barat, Indonesia, namun telah menetap lama di negara ini.
“Kad (pengenalan) tak ingat letak mana. Dulu warna merah. Sekarang warna biru,” katanya.
Beberapa soalan lain cuba diajukan namun warga emas yang kelihatan seakan nyanyuk itu tidak dapat memberikan jawapan yang difahami, namun ada menyebut nama isterinya, sebagai Sofi Muhardi.
Difahamkan pihak hospital telah menghubungi Kedutaan Indonesia bagi membantu mengesan waris pesakit memandangkan keadaan pesakit telah stabil dan dibenarkan pulang.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan dan mungkin mengenali pesakit diminta untuk menghubungi Unit Perhubungan Awam, HKL di talian 03-2615 5013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan