MALAYIA KINI
Malaysiakini mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa menerbitkan akhbar adalah satu hak dan bukan satu keistimewaan.
"Keputusan ini bukan sahaja satu kemenangan kepada Malaysiakini, tetapi kepada kebebasan akhbar secara keseluruhannya. Ia mendokong pandangan bahawa kebebasan akhbar adalah satu hak asasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.
Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan (kiri)
menyifatkan keputusan itu sebagai satu lagi tamparan terhadap kerajaan, yang mahu menyekat aliran bebas maklumat.
"Perjuangan untuk kebebasan akhbar berterusan. Ini hanyalah satu langkah kecil ke hadapan. Tetapi dengan sokongan rakyat Malaysia, kita akan berjaya mencapainya," kata Gan.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak memberikan lesen mencetak kepada Malaysiakini. Ia menghadkan kuasa menteri dalam negeri daripada sewenang-wenangnya menafikan permit penerbitan dan menteri berkenaan kini perlu mengambil kira hak perlembagaan bagi kebebasan bersuara.
Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, jika tidak dicabar, menjadi satu duluan (precedent) yang akan membentuk semula industri media, dengan membolehkan lebih banyak surat khabar diterbitkan.
Bagaimanapun, Malaysiakini menjangka kerajaan akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
"Kerajaan mahu mencontohi demokrasi Barat dalam banyak cara. Kami berharap mereka menghargai nilai kebebasan media dalam demokrasi yang berfungsi," tambah Premesh (kanan).
"Kami bersedia untuk bertemu menteri dalam negeri untuk membincangkan perkara itu."
Harapan kementerian ambil iktibar
Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpejabat di New York, dalam reaksinya, mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
"Keputusan Mahkamah Rayuan yang menyokong hak Malaysiakini untuk menerbitkan edisi cetak merupakan satu kemenangan besar bagi kebebasan bersuara di Malaysia dan satu langkah penting pertama ke arah membetulkan peranan dominasi kerajaan dalam menentukan berita yang rakyat biasa baca dalam media cetak," kata Timbalan Pengarahnya bagi wilayah Asia, Phil Robertson (kanan).
"Dengan Malaysiakini yang merupakan perintis bagi laporan berita di talian yang bebas dan berwibawa, maka diharap keputusan kehakiman ini akan membuka pintu untuk memainkan peranan yang sama di kalangan media cetak di negara itu. "
Robertson berkata Pemantau Hak Asasi Manusia itu berharap keputusan itu menjadi satu pengajaran kepada kementerian dalam negeri supaya menghentikan amalan menggunakan perintah eksekutif untuk menghalang penerbitan pandangan yang ia tidak suka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan