Ketua AMK turut mempertahankan kritikannya terhadap 'parti rakan' itu adalah dakwaan berasas.
PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan ucapan dasarnya semasa Kongres PKR ke-9 itu ditujukan kepada mana-mana pihak termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya tak tujukan kepada sesiapa pun. Tapi sesiapa pun boleh faham apa yang cuba saya sampaikan jadi siapa makan cili dia terasa pedaslah,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, turut mempertahankan kritikannya terhadap ‘parti rakan’ itu adalah dakwaan berasas, namun tidak bermaksud untuk merengangkan hubungan konsensus antara parti lain dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, kritikan itu berdasarkan pengakuan PAS yang menyatakan punca kekalahan Pakatan Rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan DUN Sungai Acheh disebabkan kesilapan parti itu sendiri.
Beliau turut menyarankan supaya parti terbabit mengambil serius pandangannya itu supaya tindakan tegas diambil termasuk memecat ahli yang mencetuskan kemelut terbabit kerana melanggar arahan pimpinan parti.
Ini kerana menurut Shamsul, isu itu hanya merugikan Pakatan untuk terus bergerak kehadapan sedangkan konsensus sudah dipersetujui setiap parti.
“Individu seperti ini perlu dikenakan tindakan. Kalau Umno boleh pecat ahlinya yang melanggar arahan parti dan bertanding sebagai calon Bebas, mengapa kita tidak,” soalnya.
Pakatan Rakyat kalah di tujuh kerusi yang terlibat dalam isu pertindihan kerusi, tiga kerusi di Terengganu (Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera), satu di Selangor (Kota Damansara), satu di Pulau Pinang (Sungai Acheh), satu di Johor (Panti), serta satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan (Labuan).
Di Kota Damansara, calon PAS Ridzuan Ismail semasa PRU13 enggan menarik diri walaupun diarahkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali supaya berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada penyandang kerusi tersebut, Dr Nasir Hashim.
Sekaligus menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan calon BN Halimaton Saadiah (kini penyandang) serta tiga calon Bebas lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan