Jumaat, 3 Mei 2013

Sabah, Ini kalilah 'undio noh'

 


 
ULASAN Kalau sebelum ini lagu "Tanak Kampung" begitu viral sekali sehinggakan ia bukan sahaja berjaya menembusi seluruh Sabah bahkan turut menjadi siulan ramai orang di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, kini "Ini Kalilah" menjadi kata-kata yang amat keramat bagi semua orang.

Asalnya ia datang dari parti STAR Sabah yang mengusulkan agenda pembaharuan dan perubahan bagi mendapatkan semula autonomi negeri tersebut.

azlanNamun apabila masa berjalan, slogan itu sudah digunakan oleh hampir kesemua komponen parti pembangkang di Malaysia sebagai kempen dan pemasaran politik mereka.

Tiba-tiba sahaja ungkapan ini menjadi suatu yang fenomena sedangkan ia sebenarnya sudah lama lahir dan dituturkan oleh masyarakat Sabah.

Barangkali tidak perlu diperjelaskan tentang apa maksud slogan ini kerana semua sudah tahu bahawa ia membawa makna yang cukup signifikan menjelang pilihan raya yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Apa yang mustahak untuk difikirkan adalah kenapa dan siapa yang harus menjadikan kata-kata itu sebagai satu kenyataan. Masa sudah benar-benar suntuk bagi rakyat Sabah.
73,620km persegi tidak bersendirian

Dengan landskap politik Sabah yang berbagai-bagai warnanya serta pertandingan terlalu banyak penjuru, yakni dari BN, Pakatan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan juga calon Bebas pada pilihan raya umum ke-13 ini, pelbagai persoalan timbul tentang siapa calon dan parti mana yang harus diberikan mandat nanti.

Ini kerana Sabah sudah terlalu sinonim dengan panggilan negeri "deposit tetap BN" yang menguasai negeri itu untuk sekian lama.

Hasilnya, elemen-elemen konservatif mula menapak dalam kalangan rakyat Sabah apabila mereka teragak-agak untuk memilih parti politik selain BN, khususnya United Malays National Organisation (Umno).

NONEMungkin mereka boleh sahaja menerima perubahan tetapi bukan sesuatu yang drastik. Ataupun mungkin mereka rasa lebih selamat dengan apa yang sudah sedia ada dan rentetan itu, status quo para pemimpin dan parti tersebut harus dipelihara baik-baik.

Bukankah kita harus berterima kasih dan bersyukur? Itulah hujah yang selalu diberikan tanpa gagal sampai ada pula laungan "Lain Kalilah!".

Kedua-dua BN dan Pakatan memang agak dominan persaingan mereka. Yang satu mahu kekalkan kuasa, sementara yang satu lagi, mahu merebut kuasa.

Bahkan kalau dilihat dalam percaturan ‘Aku Janji' mahupun manifesto mereka, tidak ada satu pun fokus dan hala tuju strategik yang mampu membina rakyat.

Ini kerana terlalu banyak agenda populis menerusi pelbagai tawaran one-off dan bantuan segera yang tidak akan menyelesaikan masalah sebenar negara.

Parti-parti tempatan pula tidak luas kapasitinya dalam perjalanan politik mereka. Lalu, kita mahu undi siapa?
Sabah mempunyai keluasan lebih kurang 73,620km persegi dan memiliki hampir 3.2 juta orang. Ini bermakna bahawa kita tidak sendirian.

Kita mungkin sahaja berasa selesa dan senang dengan apa yang telah diberikan namun jangan lupa bahawa ada lagi di hujung sana yang langsung tidak pernah menikmati kemudahan dan perkhidmatan asas yang perlu bagi pembangunan seperti kemudahan pengangkutan, perhubungan, bekalan kuasa elektrik dan lain-lain lagi.

NONEAda yang masih hidup di bawah garis kemiskinan. Bahkan apa yang lebih menyedihkan apabila tanah adat Orang Asal dirampas begitu sahaja.

Mereka ini sudah sekian lama mendiami dan mengusahakan tanaman di Tanah Adat Anak Negeri (NCR) tersebut. Oleh itu, mereka sangat bergantung kepada tanah itu untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memelihara tradisi nenek moyang mereka.

Kita tidak mahu mengukur dan membanggakan kemajuan negeri kita dengan hanya melihat banyaknya bangunan dan kompleks membeli-belah di Kota Kinabalu tetapi gagal untuk bersama-sama menghadapi keperitan yang dirasakan oleh sebahagian masyarakat kita.

Tidak cukup dengan itu, isu-isu yang berkaitan dengan 'Projek IC' bukan sahaja melibatkan aspek kewarganegaraan semata-mata tetapi apa yang lebih mustahak adalah berkenaan dengan kedaulatan rakyat Sabah dan kedudukan bangsa asli ataupun Bumiputera di negeri tersebut.

Mereka telah menunggu masa yang amat lama untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin ini yang dilihat telah begitu selesa mendapat peluang dan kemudahan yang sepatutnya untuk penduduk tempatan sahaja.

Malahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin telah pun ditangguhkan buat seketika dan hanya akan diteruskan pada 20 Mei 2013.

Ini belum lagi ditambah dengan masalah korupsi kuasa, amanah dan wang yang telah mencemari isu-isu pendidikan, kesihatan, keselamatan, infrastruktur dan sebagainya lagi yang seharusnya diberikan perhatian dengan lebih serius oleh para pemerintah.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kesemua perkara ini adalah tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai I - Senarai Persekutuan.

Ini bukan fungsi bagi Kerajaan Negeri. Oleh sebab itu, tidak ada gunanya autonomi bagi Sabah sekiranya BN masih menguasai kepimpinan kerajaan pusat dan parlimen.

Kita sepatutnya sekarang sudah serik dan penat dengan dasar-dasar yang tidak pernah memenuhi tuntutan rakyat Sabah yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi dengan janji-janji Perkara 20 yang hanya berlalu begitu sahaja.

Perbezaan jelas parti, kerajaan
Maka, rakyat Sabah harus menukar Parlimen melalui Pakatan dengan cara mengundi mereka untuk Parlimen. Parti-parti tempatan tidak mungkin dapat melakukan penukaran kerajaan.

Untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula, kita boleh sahaja mengundi siapa-siapa yang kita rasakan sesuai dan layak. Barangkali PR tidak mewakili pendirian politik kita dan apa yang kita mahukan.

Bagaimanapun apabila kita mengundi Pakatan, ini bermakna bahawa kita sebagai rakyat telah menghantar mesej kepada BN bahawa mereka harus diberi pengajaran dalam pilihan raya kali ini.

BN dan mana-mana pihak sekali pun harus sedar bahawa mereka mempunyai tugas untuk membelanja serta mengurus wang rakyat dengan sebaik-baiknya. Rakyatlah yang membayar cukai dan turut sama-sama berusaha membangunkan negara.

Bukan hanya para pemerintah sahaja. Bahkan ada perbezaan yang jelas antara parti politik dan kerajaan. Oleh yang demikian, mereka ini ada kebertanggungjawapan kepada rakyat.

NONESekiranya mereka menjalankan tugas dengan berkesan, tidak ada salahnya kalau kita teruskan khidmat mereka sebagai perwakilan kita. Namun yang menjadi masalahnya apabila mereka sekarang gagal dalam prestasi. Mereka berhutang dengan kita.

Oleh sebab itu, mereka harus dikeluarkan dari kepimpinan kerajaan pusat supaya mereka sedar bahawa rakyat punya hak, punya suara dan punya kuasa.

Malaysia ini negara anda, ia negara kita dan sedang perlukan semua kita. Jadi ini bukan masanya untuk kita main-main mahupun sengaja buat undi rosak.

Apa yang dilakukan tersebut tidak akan menyumbang apa-apa pun kepada perubahan yang diinginkan oleh semua dari kita, terutamanya mereka-mereka yang mengalami penindasan dan kesengsaraan.

NONEKita mengundi bukan sahaja untuk sekarang, tetapi bagi masa hadapan dan untuk semua orang Sabah. Oleh itu, kita harus bersatu, demi negara, demi negeri dan demi rakyat.

Bagaimana pula kalau Pakatan menang namun masih tidak berjaya merealisasikan kemahuan rakyat Sabah? 

Ada amaran awal buat mereka. Di Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP) kembali berkuasa dengan kemenangan semula majoriti dua pertiga.

Sebelum ini mereka telah tewas kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada pilihan raya tahun 2009 setelah rakyat menjadi bosan dengan sikap pemimpin yang telah memerintah negara tersebut selama lebih 50 tahun.

Pengajarannya, kalau kepercayaan sudah diberikan oleh rakyat terhadap Pakatan, maka mereka harus membuktikan dan melaksanakan tugas mereka dengan sepatutnya.

Kalau mereka ini gagal, maka mereka juga harus dibuang. Jelas dan nyata. "Ini Kalilah" mesti benar-benar bukan sekadar dijadikan laungan, tapi tindakan.

Buat rakyat Sabah, ini kalilah kita mesti 'undio noh!'

7 ulasan:

mantera berkata...

Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam.

mantera berkata...

BN Sabah, yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, turut menyumbang 22 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan di peringkat pusat.

mantera berkata...

Bagaimanapun, BN Sabah kali ini kehilangan 12 kerusi Dun berbanding tiga pada PRU 2008.

mantera berkata...

PKR berjaya menebusi tujuh kawasan Dun iaitu Api-Api, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Tamparulli, Klias dan Inanam manakala DAP, yang sebelum ini memiliki satu kerusi Dun, menambah empat kerusi iaitu Luyang, Kapayan, Sri Tanjong dan Likas.

Parti Reformasi Sabah (STAR) pula menang kerusi tunggal di Bingkor.

Walaupun hilang lebih banyak kerusi Dun, BN Sabah menambah dua lagi kerusi Parlimen kepada 22 berbanding 20 pada 2008.

mantera berkata...

BN Sabah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Penampang apabila penyandang Tan Sri Bernard Dompok merangkap Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) tewas kepada calon PKR Ignatius Dorell Leijing dengan majoriti 10,216 undi.

Nasib sama menimpa Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan.

Liew, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ditewaskan oleh calon DAP, Wong Tien Fatt dengan majoriti 1,088 undi.

Wong Sze Phin pula mengekalkan kerusi Parlimen Kota Kinabalu, iaitu kerusi tunggal DAP di Sabah, dengan mengatasi calon BN Chin Tek Ming dan Michael Liew dari STAR dengan majoriti 18,959 undi.

mantera berkata...

Musa, yang juga Pengerusi BN negeri, pada sidang media di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, menyifatkan prestasi BN itu membuktikan rakyat masih menerima BN sebagai parti pemerintah.

"Saya dan rakan-rakan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Sabah dan berjanji tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan itu malahan kami akan bekerja keras bagi memenuhi kehendak rakyat dengan berkhidmat dengan lebih baik," katanya.

mantera berkata...

Sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang memberi kepercayaan kepada BN, Musa berjanji untuk memperbaiki corak pentadbiran bagi meningkatkan usaha membawa pembangunan di Sabah.

Mengenai kekalahan tiga kerusi Parlimen itu, katanya beliau menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.