Jumaat, 10 Mei 2013

Cina tolak BN, mahu pemimpin lebih baik

Jofri Jaraiee,


BN menyalahkan pengundi Cina sebab banyak kawasan BN di bandar tumbang dalam Pilihanraya Umum ke13 tahun ini.

Walaupun BN memainkan isu Hudud tetapi pengundi Cina mempunyai matlamat hendak menukar kerajaan sekarang sebab itulah mereka bertekad untuk mengundi semua calon PR (Pakatan Rakyat) tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebagai contoh, majoriti pengundi Cina memberi sokongan padu kepada calon PAS di Sibuti tetapi kawasan Bumiputera masih lagi tetap setia dengan BN kecuali kawasan Dayak yang memang ada masalah tanah.

Antara faktor lain kekalahan calon PAS adalah pengundi kawasan pedalaman telah disogok dengan duit oleh pihak tertentu. Ada juga diantara mereka yang takut keluar mengundi calon PR sebab mereka takut dipulaukan oleh penduduk kampung yang kuat menyokong BN.

Selain dari isu-isu tersebut, ada sesetengah rumah panjang dan kampung melarang PR berkempen dalam kawasan mereka. Walaupun laporan polis dibuat tetapi mereka macam tidak ambil peduli akan tindakan yang akan diambil keatas mereka. Media massa seperti TV, Radio dan surat khabar semuanya berkempen untuk BN siang dan malam tanpa henti sehingga hari pengundian.

Risalah-risalah yang memburukkan dan memfitnah PAS disaat akhir juga bertebaran ke seluruh pelusuk kampung sehingga ada sesetengah penduduk terpengaruh dengan fitnah tersebut.

PR langsung tidak diberi peluang untuk memperjelaskan atau menerangkan hal sebenar kepada pengundi melalui TV, Radio dan surat khabar kecuali suratkhabar Cina yang lebih terbuka tetapi tidak dibaca atau difahami oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Surat khabar Cina lebih terbuka dari surat khabar Melayu yang langsung berkempen untuk BN sehingga orang Melayu dan Bumiputera tidak tahu menilai sesuatu berita sebab laporan yang berat sebelah. Kebanyakan pengundi Melayu lebih percaya kepada laporan berita dalam TV dan Radio  dari mendengar sendiri penjelasan dari pihak PR.

Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera yang kurang maklumat dan selalu disogok dengan berita yang berat sebelah setiap hari maka mereka tidak dapat menilai sesuatu berita dengan baik.

Apabila PR hendak mengadakan ceramah di kawasan penduduk Melayu ada pihak-pihak tertentu yang menyekat supaya orang Melayu jangan mendengar penjelasan dari pihak PR dan mereka lebih suka orang Melayu hidup di alam fantasi tanpa ilmu pengetahuan.

Kemenangan PR banyak mendapat sokongan dari masyarakat Cina yang banyak membaca perkembangan semasa tanpa sebarang sekatan. Orang Melayu dan Bumiputera banyak disogok dengan berita yang mengampu BN sehingga mereka tidak dapat menilai kebenaran berita yang mereka terima terkecuali orang Melayu yang terpelajar dan mereka yang menerima berita dari sumber lain seperti internet dan sebagainya.

Orang Cina yang banyak membaca isu-isu dan perkembangan semasa menyebabkan mereka berpengetahuan dan bijak memilih pemimpin untuk masa depan negara. Selagi orang Melayu dan Bumiputera bergantung hayat dengan subsidi kerajaan BN, selagi itulah BN akan terus memperhambakan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Pertandingan yang tidak adil dan berat sebelah dalam Pilihanraya Umum di Malaysia boleh menghalang atau memandulkan demokrasi dalam negara ini.

Pihak pembangkang langsung tidak diberi ruang yang sama rata dengan BN di mana segala jentera kerajaan digunakan sesuka hati oleh pihak BN tanpa sebarang sekatan. Walaupun PR dapat membentuk kerajaan tetapi mereka berjuang bersama rakyat bukan dengan jentera kerajaan.

Inilah antara faktor-faktor yang menyebabkan BN terus berkuasa sebab BN menggunakan duit untuk membeli undi di saat akhir hari pengundian.

Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli, penyokong dan pengundi PR dalam PRU13 ini yang banyak berkorban masa, tenaga dan membantu PAS sehingga ada diantara mereka yang menjadi mangsa kezaliman pihak tertentu kerana menyokong kita.

Kita akan pastikan agar segala janji-janji BN untuk rakyat ditepati dan jangan dikhianati. Pemimpin BN wajib menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Walaupun kita belum menang kali ini tetapi kita berkempen secara bermaruah tidak merasuah dan tidak mengugut pengundi untuk menyokong kita. Sepandai-pandai BN menipu rakyat, suatu hari nanti pasti akan jatuh juga ditangan rakyat.

*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak

Tiada ulasan: