Oleh ABU FIRDAUS
BAGI peminat-peminat politik, teori RAHMAN adalah suatu yang misterius dan menarik, walaupun ia mungkin hanya satu kebetulan.
Teori ini muncul pada akhir tahun 1970-an, ketika mana orang membicarakan siapakah perdana menteri selepas Tun Razak Hussein.
Buku politik popular pertama Malaysia ditulis Subky Latif berjudul Siapa Selepas Tun Razak menyemarakkan suasana ini.
Walaupun banyak orang menerima bahawa Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai pengganti Tun Razak, tetapi pemergiannya menimbulkan suatu kekosongan yang sukar untuk dicari ganti.
Dua nama timbul iaitu Ghafar Baba dan Hussein Onn. Tetapi akhirnya Hussein menjadi pengganti.
Tetapi selepas Hussein, ia menjadi masalah lagi, sama ada Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Mahathir Mohamad atau Ghafar sekali lagi.
Maka timbullah teori RAHMAN yang membawa nama Mahathir ke depan. Ini kerana Mahathir berawal huruf M sedangkan Razaleigh dan Ghafar tidak.
Barulah orang pun terfikir sebab itulah Dato’ Onn Jaafar tidak menjadi perdana menteri Malaya pertama, sebab permulaan namanya bukan R.
Maka kalau lihat ke belakang lagi, padanlah Ibrahim Yaakob yang mempelopori usaha kemerdekaan tanah air ketika menubuhkan Kesatuan Melayu muda (KMM) gagal kerana tidak memiliki nama awal R.
Begitu juga dengan pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Mokhtaruddin Lasso dan penggantinya, Dr Burhanuddin Al Hilmy tidak berjaya dalam perjuangannya kerana nama depannya bukan R.
Malah Onn sendiri, pengasas Umno yang menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) juga gagal. Yang berjaya ialah Tunku Abdul Rahman. Namanya ada T, A dan R sebagai awal huruf.
Ternyata R yang membawa rezeki padanya. Dalam pertandingan Yang Dipertua Umno menggantikan Onn, Tunku menang tipis mengalahkan Mustafa Hussein, bekas tokoh KMM yang menyertai Umno. Mustafa gagal mungkin kerana awal namanya tiada R sedangkan siapa yang memimpin Umno ketika itu bakal menjadi perdana menteri.
Selepas Tunku ialah Tun Abdul Razak Hussein, awal namanya ada A dan R. Rupanya A yang memulakan teori RAHMAN di kemudian hari. Ternyata penggantinya ialah Hussein Onn yang awal namanya ada H dan bukannya Tun Dr Ismail.
Teori ini menjadi kukuh apabila Mahathir menjadi pengganti Hussein. Namun ia hampir tumbang apabila Mahatahir memilih Musa sebagai timbalannya, Musa tidak memiliki A pada awal namanya.
Apabila Musa berpecah dengan Mahathir, Ghafar menjadi penggantinya, maka teori RAHMAN goyah lagi.
Namun apabila Anwar Ibrahim direstui oleh Mahathir sebagai timbalannya, teori RAHMAN kembali laku.
Pada tahun 1990-an, rakyat Malaysia sudah menerima Anwar Ibrahim akan menggantikan Mahathir untuk memenuhi teori Rahman. Tiba-tiba Anwar dipecat, apa sudah jadi dengan teori RAHMAN?
Maka dua nama yang layak menjadi timbalan pada Mahathir, iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak. Pastinya Abdullah dipilih dengan Najib sebagai timbalannya, maka terpenuhlah teori RAHMAN.
Tetapi apa selepas RAHMAN? Siapa selepas Najib? Adakah teori RAHMAN berulang lagi. Maknanya kalau berulang, orang yang akan menjadi pengganti Najib ialah seorang yang awal namanya berhuruf R.
Sebab itu jugalah Anwar Ibrahim gagal menjadi perdana menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Tetapi kalau ikut teori RAHMAN yang berulang, Muhyiddin Yassin pun tidak boleh menjadi perdana menteri.
S i a p a k a h p e m i m p i n - pemimpin yang nama berawal R selepas ini. Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein tidak berawal R pada namanya. Dalam Umno, yang ada nama R ialah Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi zamannya sudah berlalu walaupun disebut sebagai pengganti Anwar sebagai perdana menteri Pakatan Rakyat jika Anwar hilang kelayakannya.
Di sebelah Pakatan, nama yang bermula R ialah Rafizi. Tetapi beliau masih jauh lagi. Kalau Tengku Razaleigh boleh diterima, selepas beliau ada ruang untuk mereka yang namanya berawal A. Maka Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali boleh mengisi ruang ini. Begitu juga dengan Abdul Hadi Awang.
Atau teori RAHMAN hanyalah kebetulan yang menjadi mainan kata-kata dan keseronokan bicara para peminat politik tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan