Ahad, 5 Mei 2013

Analisis akhir: Hari penentu BN-Pakatan

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

PRU13
Seorang petugas SPR sedang melakukan pemeriksaan terakhir sebelum peti undi tersebut diedarkan ke 25 pusat Parlimen Permatang Pauh untuk PRU13 esok. - Foto Bernama
 
PRU13
 
ANALISIS - Lebih separuh iaitu 65 peratus pengundi atas pagar yang selama ini belum membuat keputusan, kini sudah tahu parti mana yang akan dipilih hari ini.

Menurut penganalisis politik, Profesor Dr Shamsul Adabi, kelompok ini yang mewakili kira-kira 10 peratus pengundi berdaftar ini bakal memberi impak besar kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Setakat ini peluang kepada BN cerah.

"Kalau kita lihat untuk BN menang, ia perlu berusaha mengekalkan kemenangan pada 2008 dan menambah lapan kerusi sahaja lagi  untuk mendapat dua pertiga," katanya kepada Sinar Harian Online.

Melihat kepada perkembangan semasa, beberapa jam sebelum kempen PRU13 berakhir, Pakatan Rakyat (PR) pula katanya berhadapan laluan sukar kerana perlu menang 30 kerusi untuk menawan tampuk kuasa.

"Kerjasama dalam BN itu sendiri nampaknya begitu baik," ujar beliau.

Sebelum Parlimen dibubarkan, komposisi  Dewan Rakyat ialah BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23), PKR (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (Kita) masing-masing satu kerusi.

Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Mutakhir ini pelbagai ramalan muncul sama ada dari pemerhati politik, pusat kajian akademik, pemimpin parti, media malah hampir seluruh Malaysia dengan pelbagai telahan.

Kempen parti-parti politik juga semakin diperhebatkan sementara tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum tempoh kempen tamat jam 12 malam tadi.

Ramalan akhir Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) sehingga pagi semalam menyatakan jurang amat hampir namun kecenderungan rakyat kepada PR tinggi.

Hari terakhir kempen, semalam, menyaksikan 'perang' di media sosial juga tidak dapat dibendung lagi. Masing-masing menggunakan perang psikologi sama ada dengan memuat naik gambar sambutan rakyat di sesuatu program dan banyak lagi.

Hakikatnya bukan mudah untuk mempengaruhi 13.3 juta pengundi di negara ini.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya, Profesor Kamaruddin M.Said pula dengan yakinnya menyatakan BN akan menang besar kali ini.

"PRU 2008 dahulu sebenarnya adalah peluang keemasan kepada PR. Tetapi 2013 ini adalah masa untuk rakyat membuat penjajaran semula," ujar beliau.

Menurut Kamaruddin, percakaran dalam PR juga turut menyumbang kepada perubahan aliran sokongan pengikut mereka pada 2008.

"Kita tidak boleh lihat sebenarnya daripada sambutan kempen mereka tetapi rakyat yang berpendidikan ini akan menilai sama ada PR ada atau tidak kebolehan memimpin negara," ujarnya lagi.

Kehadiran ribuan manusia ketika ceramah PR terutama membabitkan pemimpin utama PR, sering digambarkan sebagai aspirasi rakyat secara keseluruhannya.

Pemerhati menyifatkan ia sebagai suatu penilaian yang salah.

Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ismail Sualman meramalkan BN akan memperoleh kemenangan dengan 149 kerusi di peringkat Parlimen.

"Jika tidak ada apa-apa kejutan, kalau ada isu-isu baru keluar maka ia akan merubah keputusan sama ada menurun atau bertambah.

"Tetapi kalau bertambah mungkin sampai 152 kerusi," ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau mengingatkan mana-mana parti politik supaya mengawal penyokong masing-masing supaya tidak berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan semasa proses mengundi.

"Jangan kita melakukan sesuatu yang tidak diingini. Nanti orang akan melihat pilihan raya kita ini kotor dan sebagainya," ujar beliau lagi.

Pada PRU13 ini, sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Tiada ulasan: