Isnin, 9 Julai 2012

Susulan kes cerai: Rita bantah permohonan hak lawatan

KHALILAH GUSTI HASSAN

Rita Rudaini
Rita Rudaini
 
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM – Pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar hari ini mengemukakan notis bantahan di  Mahkamah Tinggi Syariah berhubung permohonan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak untuk mendapatkan hak lawatan ke atas dua anak mereka.

Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain mewakili Rita memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa tuduhan dalam notis permohonan Mohd Aidil selaku plaintif yang tidak dipersetujui Rita.

Beliau antara lain mendakwa Mohd Aidil, yang juga pemain bola sepak kebangsaan, tidak menyatakan alamat tempat tinggal secara khusus tetapi hanya menulis USJ Subang Jaya.

"Mohd Aidil turut memfailkan tuntutan sama di Mahkamah Syariah Seremban dan dimaklumkan telah ditarik balik," katanya.

“Plaintif dalam surat permohonan kembali taat yang difailkan terhadap defendan, menuntut isterinya tinggal di USJ Subang Jaya, juga tidak menyatakan alamat tepat.

“Setelah meneliti tuntutan, terdapat masalah berkenaan bidang kuasa mahkamah bagi membicarakan kes ini,” katanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini,hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar memerintahkan Rita selaku defendan memfailkan notis bantahan awal dengan mengemukakan alasan dan merujuk perkara-perkata berkaitan.

“Notis bantahan perlu difailkan dalam tempoh tujuh hari dari hari ini manakala hujahan bertulis hendaklah diserahkan sebelum atau pada 30 Ogos ini,” katanya.

Beliau menetapkan 25 September ini untuk memberikan keputusan sama ada mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan kes atau tidak.

Rita, 36, berbaju kurung moden ungu tiba di mahkamah jam 9.25 pagi manakalasuaminya tidak hadir dan diwakili peguam Norasyada Osman.

Norasyada pada prosiding memaklumkan Aidil Zafuan ada latihan bola sepak.

Permohonan hak lawatan dan bermalam bersama dua anak difailkan Aidil Zafuan pada 20 Jun lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan diserahkan kepada isterinya pada 27 Jun lalu.

Mohd Zaidi di luar mahkamah berkata, Aidil Zafuan turut memfailkan tuntutan sama di Mahkamah Syariah Seremban dan dimaklumkan ia ditarik balik.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan rumah tangga pasangan suami isteri itu tegang berikutan Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara.

Tiada ulasan: