Sehubungan itu, Azizan yang juga Pengerusi Insaniah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membantu menyelesaikan isu berbangkit.
“Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinannya tetapi ini masalah Kerajaan Negeri, biar kami yang uruskan. Jika keadaan mendesak dan tidak terkawal, saya sendiri akan hubungi beliau minta tolong,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, buat masa ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak perlu mencampuri urusan dalaman Insaniah memandangkan ia bukan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Ia hanya masalah kecil dan mampu diselesaikan dengan kebijaksanaan pengurusan,” katanya.
Azizan berkata, pihaknya sudah pun membincangkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh segelintir kakitangan Insaniah dan menyifatkannya sudah selesai.
“Buat masa ini, kita mampu selesai sendiri, tak perlu campur tangan pihak luar, bimbang kelak jadi makin rumit. Ingin saya ingatkan, Insaniah adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di mana pengurusan bawah Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, hanya sebilangan kakitangan Insaniah masih tidak berpuas hati dengan pengurusan dan kepimpinan Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Osman.
“Bagi saya ia sudah selesai tetapi masih ada pihak yang bising, tidak puas hati dengan tindakan kita,” katanya.
Khamis lalu, Mohamed Khaled berkata, KPT akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terlibat dalam krisis pentadbiran dan pengurusan Insaniah secepat mungkin untuk meneliti punca sebenar masalah sebelum membuat sebarang cadangan kepada Kerajaan Negeri.
Mohamed Khaled dipetik berkata, pihaknya akan memantau secara teliti perkembangan isu tersebut bagi memastikan proses pembelajaran penuntut Insaniah tidak terganggu.
Mengulas perkara itu, Azizan berkata, sekiranya KPT berhasrat mengadakan pertemuan dengan kakitangan Insaniah, pihaknya perlu dimaklumkan terlebih dahulu kerana mereka adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.
“Nak jumpa silakan, tetapi biarlah maklum secara rasmi pada kita selaku tuan rumah,” katanya.
Kemelut Insaniah mendapat perhatian awal Mei lalu, apabila Majlis Bersama Jabatan (MBJ), sebuah jawatankuasa yang mewakili semua staf pelbagai gred jawatan, mengemukakan memorandum tuntutan penyelesaiaan hal berkaitan kebajikan Insaniah kepada Jamil.
Tempoh sebulan yang diberikan kepada beliau untuk menyelesaikan isu termasuk tunggakan bayaran kepada agensi kewangan serta pemotongan gaji terhadap staf, disusuli dengan lima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Kemelut berlanjutan sehingga menyebabkan hampir 200 staf Insaniah mengadakan perhimpunan aman mendesak Rektor meletakkan jawatan pada 3 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan