Isnin, 9 Julai 2012

Soi Lek: Jangan babitkan isteri saya dalam isu Guan Eng

SINAR HARIAN

Dr Chua: Jangan babitkan isteri saya dalam isu Guan Eng
Dr Chua Soi Lek
 
 
PETALING JAYA - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meminta pihak yang berkenaan agar tidak membabitkan isterinya, Datin Seri Wong Sek Hin dalam isu peribadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
  
Katanya, perbuatan itu tidak adil kerana isu tersebut tidak ada kena-mengena dengan orang lain termasuk beliau dan isteri.
  
"...mereka (DAP) hanya mahu mengalihkan perhatian daripada beliau (Lim) kepada orang lain, termasuk saya dan mahu memperbesarkan isu itu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
  
Beliau ditemui pemberita selepas debat kali kedua dengan Lim yang bertajuk 'DAP & MCA: Whose Policies Benefit the Community Better?' (DAP & MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat), anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).
  
Soi Lek diminta mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Mandarin yang antara lain menyebut isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng meminta Sek Hin menasihati bekas Menteri Kesihatan itu agar mengarahkan pemimpin MCA berhenti daripada menyalah guna sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk membangkitkan dakwaan skandal Guan Eng.
  
Mengulas lanjut, Soi Lek berkata, pertanyaan yang dilontar wakil rakyat MCA bagi kawasan Duyung, Datuk Gan Tiang Loo pada sidang Dun Melaka Selasa lepas hanya soalan biasa yang boleh ditamatkan dengan jawapan ringkas "ya atau tidak".

"Kalau tak ada, cuma bangun dan nafikan, isu akan berakhir di situ," katanya.
  
Ditanya mengenai gesaan Guan Eng agar beliau memohon maaf kepada Betty berhubung kenyaan Gan itu, Soi Lek berkata: "Mengapa saya harus minta maaf? Yang patut menjawab adalah beliau dan Betty, bukan saya."
  
"Yang memanjangkan isu ini bukan kami (MCA) tetapi Guan Eng dan juga Betty," katanya.
  
Sementara itu, Guan Eng berkata, Soi Lek wajar minta maaf kepada beliau dan isteri serta seluruh wanita di atas perbuatan Tiang Loo "melontarkan tohmahan tentang isu itu semasa persidangan DUN dan telah menjatuhkan maruah wanita."
 
Tiang Loo ketika membangkitkan isu itu dilapor meminta Betty yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana menjelaskan mengenai dakwaan skandal membabitkan Lim dan bekas staf di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Phaik Kheng.
  
Bagaimanapun Betty yang memilih berdiam diri ketika itu mencabar Tiang Loo mengulangi soalan tersebut di luar Dewan pada sidang media kemudian.
  
Keesokannya lima wakil rakyat DAP termasuk Betty digantung daripada menghadiri sidang Dun Melaka selama enam bulan kerana menimbulkan kekecohan pada persidangan itu.
  
Sementara itu, ditanya sama ada beliau sedia berdebat lagi dengan Guan Eng pada masa akan datang, Soi Lek berkata, tiada makna program itu diadakan jika tidak dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat.
  
Beliau juga menyifatkan perdebatan kali ini sama seperti sesi debat pada 18 Februari lepas apabila Guan Eng tidak menjawab soalan yang dilontar penonton.
  
"Sama seperti pada sesi lepas, Guan Eng tidak menjawab soalan semasa berdebat dengan saya tadi, dia hanya tahu mengelak apabila sesi soal jawab itu, akhirnya saya juga menjawab bagi pihaknya," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: