Najib dalam siri keenam Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Selangor di Bandar Baru Bangi hari ini turut menjelaskan, BN telah banyak berjasa sebelum ini dan telah membuktikan keupayaan mereka untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan keamanan di negeri terkaya di Malaysia itu.
"Berilah kami peluang, BN telah membuktikan kami boleh menjamin kestabilan keharmonian dan kami berjanji kemakmuran dan kemajuan akan dapat dilaksanakan.
"Janji ditepati ini bukan slogan, tetapi adalah bukti BN dapat laksanakan janji yang telah kami berikan" katanya (gambar) di hadapan hampir 50,000 pengunjung program jelajah tersebut.
Tambah perdana menteri itu lagi, BN perlu menang di Selangor untuk menjadikan masa depan negeri itu lebih baik.
"Kita juga perlukan kemenangan. Kalau kita menang, melalui mandat yang rakyat berikan, masa depan Selangor akan jadi lebih baik.
Justeru, Najib turut membidas janji-janji yang telah ditabur Pakatan Rakyat di Selangor kerana mereka tidak pernah menunaikan janji-janji tersebut.
"Sebelum 2008, PR telah menabur banyak janji. Apa dah jadi kepada janji tersebut. Mana janji mereka? Kita perlu meletakkan kebertanggungjawaban kepada kerajaan negeri yang telah memerintah selama empat tahun itu.
"Kita di ambang pilihan raya, namun masih tiada gambaran janji dulu akan ditunaikan, hari ini mereka tabur janji lagi dalam Buku Jingga, yang mana jika dilaksanakan, maka akan hancur ekonomi negara," tambah Najib lagi.
Selain itu, ahli Parlimen Pekan ini turut mengakui BN telah melakukan kesalahan sewaktu pilihan raya umum 2008 lalu, namun beliau berjanji akan menebus kesalahan tersebut dengan memberikan yang terbaik kepada rakyat Selangor pada masa hadapan jika kembali diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13.
"Mungkin kita buat silap sikit dalam PRU lalu, tapi kita akan buat yang lebih baik pada masa depan," tambahnya lagi.
Najib yang nyata teruja dengan kehadiran pengunjung dan sambutan yang diberikan kepadanya turut menambah "jumlah yang ramai ini mungkin gambaran petanda yang baik di Selangor ini."
Sebelum itu, Najib sempat menghabiskan masa lebih satu jam bersarapan pagi bersama peniaga dan wakil penduduk di Pasar Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, malah, beliau juga turut mendengar dan menerima aduan daripada penduduk setempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan