Sabtu, 21 Julai 2012

Seramai 168 Dari Paya Jaras Terima RM 1,500 Khairat Kematian





SUNGAI BULOH  : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) membawa kebaikan bukan sahaja kepada warga emas yang berdaftar, malah turut memberi kelebihan kepada ahli keluarga yang lain.

Mohd Hanif Husin 62, berterima kasih atas wang khairat kematian kerana dapat membantynya menguruskan pemergian arwah ibunya pada pertengahan bulan lalu.

“Sememangnya saya sangat setuju dengan langkah Kerajaan Negeri mewujudkan skim sebegini kerana sekurang-kurangnya dapat membantu kami mengurus jenazah dengan lebih baik.

“Dengan wang yang diterima hari ini, Insya-Allah saya ingin menaik taraf kubur arwah ibu dengan batu marmar selain menganjurkan kenduri tahlil untuknya,” ujarnya yang berasal dari Paya Jaras.

Keluarga warga emas yang berdaftar dengan SMUE akan menerima RM 1,500 di bawah program khairat kematian.

Mohd Hanif antara 168 penerima wang khairat kematian SMUE yang diraikan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Paya Jaras sempena Program Khas Mesra Rakyat di sini petang semalam.

Seorang lagi penerima, G. Neela 59, berkata beliau sangat berbesar hati dengan langkah bijak Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai berpandangan jauh.

“Di mana lagi di Malaysia kita mahu cari pemberian wang khairat kematian seperti ini melainkan di Selangor?

“Sebelum ‘pergi’ kita dijaga dengan pelbagai kebajikan, apabila sudah ‘pergi’, keluarga yang ditinggalkan pun tidak terbeban untuk mengurus jenazah lebih-lebih lagi kepada keluarga miskin,” jelasnya yang hadir ditemani anak lelakinya.

Sebanyak RM 252, 000 disumbangkan kepada 168 penerima daripada 10 kawasan DUN dan kesemuanya disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam program tersebut barisan Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Dr. Halimah Ali, Rodziah Ismail.Juga hadir Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan selain Penyelaras DUN Paya Jaras, Khairuddin Othman.

Tiada ulasan: