SHAH ALAM : Senator, Dr Syed Husin Ali menggesa kerajaan menjelaskan isu-isu menyentuh penglibatan individu kaya yang menyembunyikan kekayaan dari hasil kegiatan haram dengan memindahkan wang ke luar negara secara haram.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penangguhan di Dewan Negara baru-baru ini.
Katanya, aliran keluar wang haram yang semakin melonjak itu, antara lain disebabkan kebimbangan pemimpin besar politik dan ekonomi yang takut kehilangan kuasa dan pengaruh.
Beliau turut memberitahu Malaysia menduduki tempat ke lima tertinggi pengaliran wang haram ke luar negara.
“Mengikut laporan global Financial Integrity dengan tajuk Financial Flows from Developing Countries 2000-2009, Malaysia terletak pada kedudukan kelima mengikut jumlah wang haram yang mengalir keluar, iaitu di belakang China, Russia, Mexico dan Saudi,” katanya.
Selain itu laporan yang dinyatakan Syed itu turut menyebut sejumlah USD291 billion wang haram mengalir keluar dari negara ini pada tahun 2000 hingga 2008.
Dalam laporan yang sama turut menyebut angka tersebut mencecah antara USD337 billion atau lebih USD1 trilion pada 2009.
Jelasnya kadar lonjakan yang besar ini berlaku mungkin berkaitan dengan isu-isu tatakelola pentadbiran (governance) yang menjejaskan sektor-sektor awam dan swasta.
Dr Syed berkata jumlah pengaliran wang haram tersebut yang lima kali ganda dari anggaran Belanjawan 2012 itu mampu memberi banyak manfaat kepada negara sekiranya dapat digunakan sebagai modal pelaburan dalam negara.
“Dari segi hutang pula, jumlah wang haram ini adalah lebih daripada dua kali ganda jumlah hutang negara, yang pada 2012 adalah sebanyak RM456 bilion.
“Ertinya dengan cukai yang boleh dikutip daripada wang haram yang mengalir keluar sepanjang satu dekad antara tahun 2000 sehingga 2009, kita sebenarnya boleh melunaskan sebahagian besar daripada hutang negara tersebut,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan