SHAH ALAM : Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar didakwa melakukan promosi dengan memasang billboard secara haram di beberapa kawasan di daerah Kuala Selangor yang memaparkan wajahnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, hasil semakan dilakukan didapati terdapat tujuh billboard berkaitan yang dipasang secara haram di Tanjung Karang dan Kuala Selangor yang semuanya melanggar peraturan dan tanpa kebenaran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
Beliau berkata, tindakan Noh yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani itu jelas membelakangkan peraturan dan undang-undang yang menjadikan Tanjong Karang umpama pekan koboi dengan boleh dilakukan apa saja tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa.
“Mungkin Perdana Menteri tidak tahu perkara ini kerana Noh adalah orang kepercayaannya. Dengan pendedahan ini, kita pasti Najib akan merasa malu apabila gambarnya dipaparkan pada billboarad haram.
“Jika undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun tidak boleh dipatuhi, adakah rakyat Selangor rela menerima Noh sebagai calon Menteri Besar jika Umno-BN menang pada pilihanraya akan datang? Perdana Menteri sepatutnya berfikir 10 kali tentang perkara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Faekah berkata, Kerajaan Negeri telah lama memberi peluang kepada Noh tetapi tidak mengambil inisiatif untuk berbincang dengan MDKS atau merujuk terlebih dahulu sebelum membina billboard tersebut.
Sehubungan itu, katanya, arahan merobohkan semua billboard telah dikeluarkan kepada MDKS.
Menurutnya, tindakan Noh itu amat dikesali kerana sebelum ini beliau mencerca Pakatan Rakyat (Pakatan) kononnya hanya tahu memacakkan billboard yang dikatakan tindakan tidak tahu diuntung.
Tambahnya, Kerajaan Negeri menggunakan billboard di seluruh negeri ini untuk menyebarluaskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk memberi manfaat kepada rakyat yang tidak mungkin mendapat maklumat ini menerusi media cetak arus perdana dan televisyen.
“Kita meminta kebenaran untuk meminjam billboard milik PBT di seluruh negeri. Kita juga membina 56 billboard baru iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu billboard untuk mempromosikan MES selepas mendapat cadangan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Projek ini dibuat secara tender terbuka dan pemilihan tapak dibuat atas nasihat PBT. Kita memastikan pembinaan billboard ini mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh PBT dan mengingatkan PBT supaya mengambil tindakan sekiranya kontraktor terlibat gagal mematuhi grsi panduan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan