SHAH ALAM : Dalam usaha menangani isu kutipan sampah dan pembersihan awam di negeri ini, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan akaun facebook khusus untuk tujuan itu berkuatkuasa hari ini.
Akaun yang menggunakan nama ‘Yang Berkhidmat Ronnie Liu (Aduan Isu Tempatan Selangor)’ itu dikendalikan sepenuhnya oleh Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.
Menurut Ronnie, akaun itu memberi peluang kepada orang awam untuk mengemukakan aduan kepada Kerajaan Negeri mengenai isu kerajaan tempatan termasuk kutipan sampah dan pembersihan awam.
“Isu kutipan sampah dan pembersihan awam masih menarik perhatian umum. Hotline sedia ada akan diteruskan, tetapi ini adalah salah satu alternatif untuk memperbaiki keadaan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, aduan itu kemudiannya akan dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan susulan.
Bagaimanapun tegasnya, orang awam dinasihatkan untuk memberi fokus kepada aduan sampah dan pembersihan awam sahaja, tanpa membabitkan isu lain.
“Aduan untuk isu lain akan diusulkan kemudian. Setiap orang yang ingin membuat aduan perlu menyatakan nombor telefon, nama, alamat pengadu, lokasi aduan serta gambar,” katanya.
Kerajaan Negeri sebelum ini mewujudkan talian bebas tol atau Hotline yang membolehkan rakyat membuat sebarang aduan mengenai perkhidmatan PBT terutama melibatkan pengurusan kutipan sampah dan pembersihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan