Muhammad Faizal, |
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 Ogos ini bagi mendengar kes saman bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.
Kes saman RM100 juta itu dikemukakan oleh Shahrizat berhubung dakwaan penyelewengan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang telah didedahkan oleh kedua-dua pemimpin PKR itu.
Zuraida yang ditemui Harakahdaily memberitahu, beliau dan Rafizi sudah bertemu dan berbincang dengan barisan peguamnya bagaimana untuk mengendalikan kes saman tersebut pada 6 Ogos nanti.
"Saya dan Rafizi telah berbincang dengan barisan peguam dan banyak perkara perlu kita persiapkan bagi mengendalikan kes saman ini.
"Saya yakin kita boleh menang dalam kes ini, bagi saya tindakan saman dari Shahrizat itu adalah satu langkah yang silap," jelasnya.
Tambahnya lagi, secara umumnya seluruh rakyat telah mengetahui penyelewengan dan ketidak telusan yang berlaku dalam projek NFC.
"Mahkamah adalah langkah terbaik untuk kita membuat pendedahan dan saya pasti segala apa yang kita bongkarkan selama ini akan kita dedahkan.
"Shahrizat perlu menjawab setiap apa yang kita persoalankan selama ini," sambungnya lagi.
Sebelum itu pada 19 Januari yang lalu Shahrizat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau berhubung projek NFC.
Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida telah memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung satu ucapan didakwa "berbau fitnah" yang diujarkan bekas menteri tersebut.
Jelas Rafizi sebelum ini, langkah itu diambil untuk memastikan kes melibatkan syarikat National Feedlot Corporation yang diusahakan keluarga menteri itu terus dibawa ke mahkamah.
Saman balas itu diambil kerana khuatir pihak plantif mungkin mengambil keputusan melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan