Abdul Aziz Mustafa, |
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pembohongan dan penipuan terang-terangan kononnya berlaku krisis bekalan air di Selangor itu mungkin akan menamatkan kerjaya politik Najib yang kini dikatakan kian keseorangan.
"Terlalu banyak perkhabaran dan tuduhan yang kita dengar bahawa Muhyiddin mengambil peluang dan kesempatan dari krisis air di Selangor yang direka-reka oleh Umno dan BN (Barisan Nasional) itu untuk menamatkan kerjaya politik Najib.
"Apa yang berlaku itu dikhabarkan boleh menghambat Najib dari kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, sama seperti yang berlaku kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dahulu," katanya.
Menurut Mahfuz, dalam keadaan serba tandus dan tertekan sekarang, orang seperti Muhyiddin pun digambarkan oleh sumber dalaman Umno sebagai "operatif politik yang licik", walaupun ramai pula ahli Umno menuduh beliau "lembab".
"Sumber dalaman Umno yang berkenaan menyatakan, Muhyiddin sebenarnya adalah seorang operatif politiik yang licik.
"Menurut mereka, Muhyiddin sengaja ke depan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor apabila kerajaan Selangor menentang pelbagai tekanan Umno dan kroninya di dalam Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) dalam isu air itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Malah, kata Mahfuz lagi, apabila Umno dan kroninya di dalam Syabas menyebarkan khabar palsu bahawa bekalan air di Lembah Kelang akan dicatu kerana kononnya kekurangan air apabila kerajaan Selangor enggan mengikut telunjuk Umno dan kroninya dalam Syabas, segala peralatan propaganda dan dakyah Umno BN digunakan bagi menimbulkan keraguan rakyat terhadap kemampuan PR memerintah dan mentadbir negara.
"Sedangkan, kata sumber itu, mereka sebenarnya tahu bekalan air mencukupi, tetapi serangan propaganda diteruskan juga.
"Akhirnya senjata makan tuan dan rakyat yang sebelum ini mengesyaki sesuatu mendapat bukti bahawa catuan hanyalah rekaan Umno dan kroninya di dalam Syabas apabila catuan itu dibatalkan berikutan tindakan yang lebih agresif dari kerajaan negeri Selangor," kata beliau.
Dalam keadaan sedemikian, kata Mahfuz, rakyat akan memarahi Umno dan mereka dipercayai akan bertindak menghukum Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
"Dalam keadaan sedemikian, sumber Umno itu memberitahu lagi, jika Umno BN sekali lagi kalah dan gagal menubuhkan kerajaan di Selangor dan lebih-lebih lagi di peringkat pusat, Najiblah yang mesti memikul tanggungjawab sama seperti yang dilakukan Pak Lah dahulu.
"Jika keadaan sedemikian berlaku, yang untung tentulah Muhyiddin," katanya lagi sambil menyatakan banyak perkembangan yang berlaku kini akan menyebabkan Najib akhirnya terpaksa berundur selepas pilihan raya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan