Khamis, 5 Julai 2012

MCA dicabar ulangi dakwaan di luar DUN

Harakahdaily,
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar kanan) mencabar pemimpin MCA Melaka membuat dakwaan terhadap beliau di luar dewan untuk membolehkan tindakan mahkamah diambil.

 Beliau juga mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengarahkan MCA untuk mengulangi fitnah palsu mereka di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ia berkaitan dengan dakwaan Adun MCA kononnya isteri beliau menyerang bekas kakitangan pejabatnya kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Setiausaha Agung DAP itu.

Dakwaan itu dibuat dalam sidang DUN Melaka baru-baru ini.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya mengenai cubaan membunuh karektor  peribadi yang dilakukan bukan sahaja terhadap diri saya tetapi juga terhadap isteri dan anak-anak saya oleh BN dan MCA.

"Jelas BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik bahkan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah," kata Lim Guan Eng.

Sebelum ini anak beliau yang berumur 15 tahun, yang masih di bawah umur, dituduh melakukan pencabulan seksual terhadap rakan wanita sekelasnya oleh laman web UMNO, iaitu UMNO Online serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan blog-blog pro-UMNO.

Gambar wanita yang kononnya menjadi mangsa anak beliau tersiar di internet.

Mangsa wanita yang dikatakan itu, kata Guan Eng, telah dikenal pasti sebagai Anya Corke, juara catur dari Hong Kong yang tidak pernah langsung bertemu beliau dan anaknya.

"Umno Online atau Khairy Jamaludin tidak pernah meminta maaf atas pembohongan mereka dan tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas laporan polis yang difailkan oleh saya.

"Sebaliknya, tindakan segera diambil hanya apabila terdapat kempen yang memburuk-burukkan pemimpin BN," tempelak Guan Eng marah.

Setelah gagal untuk menghancurkan hidup anak beliau dan gagal untuk menjejaskannya, Guan Eng berkata, jentera media BN kini telah melaksanakan satu lagi kempen keji, kali ini melalui perbuatan memburukkan isteri beliau melalui MCA.

Pengerusi MCA Melaka, Datuk Gan Tian Loo (gambar atas kiri) telah menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap Guan Eng dan isteri di dalam dewan tersebut.

"Saya mahu Gan untuk mengulangi tuduhan itu di luar supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu," katanya.

Jika Gan tidak berani berbuat demikian, maka dia telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin, ahli EXCO dan wakil rakyat, tambah beliau.

Lebih teruk lagi, katanya, dia akan menunjukkan dirinya sebagai orang yang tidak layak untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anaknya kerana sanggup membuat tuduhan palsu terhadap orang lain untuk menghancurkan bukan sahaja karier politik tetapi juga kebahagiaan rumah tangga orang lain.

"Apakah jenis pemimpin seperti Gan ini apabila dia sanggup dipergunakan sebagai orang suruhan UMNO untuk bermain politik longkang itu?

"Ulangi kenyataan di luar supaya saya dan isteri boleh buktikan di mahkamah bahawa Lim Guan Eng bukanlah seperti Chua Soi Lek," desak Lim Guan Eng.

Tiada ulasan: