BANGI : Islam sememangnya menganjurkan umatnya mengamalkan konsep wasatiyyah dalam kehidupan seharian yang meliputi keseimbangan dari segi material dan rohani.
Namun malangnya terdapat golongan pemimpin di negara ini yang lantang mempromosikan konsep ini tetapi mereka sendiri gagal mempratikkannya dalam kehidupan seharian.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di hadapan lebih seribu hadirin di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di sini pagi semalam.
“Golongan ini sekadar pandai bercakap tetapi hakikatnya mereka inilah yang dilihat tanpa segan silu mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.
“Mereka ini juga yang dilihat begitu berbangga dengan sikap boros, menunjuk-nunjuk dan berlagak mewah sehingga lupa asal usul keturunan sendiri,” ujar Abdul Khalid.
Beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap budaya fitnah yang semakin berleluasa di kalangan pemimpin yang tidak bertanggungjawab demi menjatuhkan seseorang atau pihak tertentu.
“Budaya sebeginilah yang mampu merosakkan perpaduan dan pembangunan sedia sedangkan ianya bukan budaya kita dan jauh sekali dari landasan Islam yang sebenar.
“Sikap sedemikian mampu menyebabkan seseorang hilang pertimbangan rasional sehingga sanggup mencerca, membuka aib dan sebagainya sedangkan ia tidak dianjurkan langsung oleh Islam,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan sebegini berhenti daripada menggunakan paksi Islam kerana Islam bukanlah untuk dimanipulasikan demi kepuasan nafsu dan kepentingan diri semata-mata.
“Adalah lebih afdal kita berusaha berdakwah kepada diri sendiri, isteri, anak-anak dan saudara-mara terlebih dahulu sebelum kita mengajak orang lain bersikap sederhana dalam banyak hal,” pesan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan