Isnin, 16 Julai 2012

Dibelasah 18 rakan kerana disyaki curi

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF

Dibelasah 18 rakan
Keadaan bibir Muhammad Fareez Akmar yang lebam akibat dipukul 18 rakannya.
 
 
IPOH – Kerana disyaki mencuri wang di asrama sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah, di sini, seorang pelajar tingkatan empat terpaksa menahan azab dibelasah 18 rakannya selama lebih tiga jam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi dan dia mengalami lebam pada muka, paha, belakang badan serta betis, akibat dipukul dengan objek keras.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia trauma untuk kembali ke asrama sekolah kerana bimbang perkara lebih buruk menimpa dirinya terutama setelah ia diketahui warden asrama dan pengetua.

“Saya dipukul tanpa henti kerana enggan mengaku mencuri wang sebanyak RM100 milik seorang pelajar. Mulanya mereka tanya dan saya jawab tidak tahu, lantas mereka menarik saya ke tengah bilik lalu memukul saya.

“Selepas itu saya ditarik masuk ke sebuah bilik lain dan dibelasah lebih 10 pelajar kerana tidak mengaku mencuri wang itu. Saya tidak tahu perkara itu dan merayu agar mereka tidak memukul saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Manjoi, di sini, semalam.

Muhammad Fareez Akmar berkata, rayuannya tidak didengari, malah dia terus dibelasah termasuk dengan selipar serta batang penyapu dan kejadian itu berlarutan sehingga jam 5 pagi.

“Selepas itu, mereka biarkan saya terbaring di lantai selama beberapa jam sebelum saya kembali ke katil dan menghubungi ibu untuk mengambil saya di asrama,” katanya.

Ibu mangsa, Azian Ismail 40, berkata, dia terkilan dengan sikap pelajar terbabit terutama keengganan mereka meminta maaf kepada mereka sekeluarga walaupun telah mengaku memukul Muhammad Fareez Akmar.

“Lebih dikesali, warden asrama tidak mengetahui kejadian itu sehingga kehadiran kami ke asrama. Kami difahamkan kes pukul telah menjadi kebiasaan pelajar, cuma ia tidak dilaporkan kepada guru.

“Saya bawa Muhammad Fareez Akmar balik untuk mendapat rawatan kerana mukanya bengkak teruk dan atas nasihat doktor, saya buat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan, didapati banyak kesan lebam pada seluruh badan Muhammad Fareez Akmar, dan dia sekeluarga bercadang membawa perkara itu ke mahkamah sekira tiada tindakan dikenakan ke atas pelajar terbabit.

Katanya, dia meminta cuti seminggu untuk Muhammad Fareez Akmar berehat dan melihat perkembangan kes, sekali gus memikirkan sama ada terus menempatkan anaknya di asrama itu atau tidak.

Sementara itu, pengetua sekolah yang dihubungi memaklumkan akan mengadakan siasatan dalaman bagi menyiasat kes itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: