Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jumlah terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain itu tidak boleh dibiarkan berterusan.
"Ia menimbulkan implikasi besar terhadap institusi keluarga dan gejala tidak sihat kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Eksplorasi Khas Himpunan Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) di Tok Bali di sini, hari ini.
Lebih 300 mahasiswa pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dari dalam dan luar negara menyertai eksplorasi itu yang berlangsung selama tiga hari.
Mustapa mengulas tuntutan lima perkara oleh Presiden HIMSAK, Mohd Faizal Daud yang berucap di majlis itu yang mahukan peluang pekerjaan, adanya pembinaan rumah, kebajikan orang tua dijaga, infrastruktur dan usaha memperkasakan agama Islam diteruskan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata jika BN diberi peluang memerintah Kelantan, keutamaan akan diberi dalam usaha menarik pelaburan, menyediakan bekalan air bersih, perumahan kos rendah dan prasarana yang lebih baik.
Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu semua pihak terutama mahasiswa perlu memberi kerjasama menyakinkan rakyat negeri itu bahawa hanya BN yang mampu mengubah nasib mereka.
Katanya, HIMSAK akan digerakkan ke setiap kawasan Parlimen menerusi program 'destiny' dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Mustapa berkata mereka akan turun ke akar umbi menemui penduduk kampung memberi penjelasan supaya dapat mengurangkan kekeliruan yang dilemparkan parti pembangkang terhadap dasar-dasar kerajaan pusat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan