PEMBERITAAN tentang Sabah harus diperbanyakkan sama ada dalam media cetak atau elektronik, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah Berita Harian menerbitkan berita edisi Sabah bermula Ahad.
"Saya fikir Berita Harian di bawah NSTP Group sedang melangkah ke arena progresif yang baru dalam dunia berita atau media cetak.
"Ini satu kemajuan yang membanggakan kita dan nampaknya Sabah mendapat tapak kepada penerbitan media dan kita sama-sama lah sokong penerbitan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Sabah di Kepayan, dekat sini Sabtu.
Rais berkata demikian ketika diminta mengulas pelancaran Berita Harian edisi Sabah di sini.
"Bagi saya ini merupakan satu kebanggaan oleh kerana informasi mendapat ganjaran setapak lagi," katanya.
Ditanya oleh pemberita tempatan sama ada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia turut mewujudkan mini unit penyuntingan berita di Sabah berikutan perkembangan terbaru itu dan tuntutan semasa, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan, termasuk juga peralatan kamera untuk Jabatan Penyiaran Sabah.
Rais berkata kementerian dengan kerjasama Astro akan melihat semula kemudahan satelit di Sabah bagi memastikan tiada lagi kawasan 'lindungan'.
"Dalam masa yang singkat, saya akan datang lagi ke sini bersama Astro dan rakan penyair yang lain supaya peralatan ini (satelit) lengkap dan dapat diletakkan di tempat-tempat yang ditentukan awal di seluruh negeri," katanya.
Mengenai pembangunan kompleks bersepadu itu, Rais berkata beliau gembira kerana kompleks yang bernilai sekitar RM88 juta sudah siap yang antara lain akan menempatkan Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas.
Beliau berkata menjelang tahun 2015, Malaysia bakal memperoleh alat penyiaran digital dan "saya duga pelbagai peralatan terutama peralatan kamera digital kita peroleh untuk Sabah".
Dalam pada itu, Rais berkata Kerajaan tidak pernah memperdayakan rakyat dalam melaksanakan apa juga program bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Sambil menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan meminjam daripada Bank Dunia bagi membiayai program BR1M, Rais berkata kerajaan menambat hati rakyat secara ikhlas dan secara benar.
"Sebagai seorang anggota kabinet Persekutuan yang agak lama berkhidmat... janganlah menuduh tanpa asas. Ini tidak baik untuk negara kita, nanti kita digelar sebagai orang politik yang berbohong.
"Sekiranya pihak pembangkang meneruskan gelagat menipu... terserah kepada mereka. Kami tidak akan terpedaya dan kami tidak akan memperdaya rakyat, yang kita beri khidmat dengan amat baik dan setia," katanya kepada pemberita selepas melawat ke Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Sabah di Kepayan, dekat sini.
Rais berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan mampu melaksanakan program BR1M berikutan kekuatan ekonomi dalaman negara yang menjana hasil memberangsangkan.
Najib berkata kerajaan tidak meminjam daripada Bank Dunia bagi membiayai program berkenaan kerana Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi dalaman berikutan pentadbiran yang cekap sehingga berjaya meningkatkan hasil negara sebanyak RM22 bilion tahun lepas berbanding tahun sebelumnya. (BERNAMA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan