"Jangan buang masa, tumpu kepada Selangor. Nanti sibuk di Kampung Bharu, Selangor terlepas kepada Barisan Nasional, Kita tidak tahu kenapa dia nak buang masa di Kampung Bharu, kecuali jika dia nak bertanding di (Parlimen) Titiwangsa," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Zainal Abidin (gambar bawah) - Berita Harian.
Tanah Kg. Bharu telah wujud sejak tahun 1900 melalui Enakmen Tanah Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural Settlement 1950) adalah hak milik pensendirian orang-orang melayu. Sejak kewujudannya lebih 111 tahun, tanah Kg. Bharu diwarisi turun temurun oleh orang Melayu kerana statusnya dijamin melalui Enakmen yang digubal oleh Kerajaan Selangor sejak sebelum Malaya mencapai kemerdekaan lagi.
Kepesatan pembangunan Kuala Lumpur telah mengakibatkan Kg. Bharu dilihat agak ketinggalan. Rata-rata pemilik dan pewaris tanah menginginkan pembangunan seiring dengan pembangunan kawasan persekitaran tetapi pembangunan yang diinginkan bukan bermaksud hak milik tanah mereka diambil alih oleh orang lain. Pembangunan yang diinginkan mereka bukan bermakna sesiapa sahaja boleh mengabaikan hak mereka. Pembangunan yang diinginkan mereka bukan bermaksud mereka boleh diperkotak-katikkan.
Pada 7 Disember 2011 telah diluluskan suatu Rang Undang-Undang yang dinamakan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 di Dewan Negara setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 sebelumnya. Rang Undang-Undang yang mendapat pelbagai bantahan ini telah diluluskan dengan begitu tergesa-gesa. Rang Undang-Undang ini secara tidak langsungnya membawa maksud tiada orang lain yang lebih tahu dalam hal membangunkan Kg. Bharu melainkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar. Hanya Kerajaan Persekutuan sahaja yang lebih tahu dan lebih arif menentukan nasib dan hala tuju pembangunan Kg. Bharu sehinggakan para pemilik dan pewaris tanah dirasakan tidak penting dan tidak mempunyai apa-apa pengetahuan.
Tanah Kg. Bharu yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang kemudiannya menyerahkan pentadbirannya kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974 akan kehilangan identiti dan hak milik asal sekiranya tidak ditangani dengan berhemah dan teliti. Justeru Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk memberikan alternatif pembangunan yang diinginkan para pemilik dan pewaris tanah. Kepentingan pemilik dan pewaris tanah adalah diutamakan melebihi pihak-pihak lain. Inisiatif ini diambil dengan mengambilkira status tanah Kg. Bharu yang asalnya ialah tanah milik Negeri Selangor dan sehingga kini masih lagi milik Selangor secara tidak langsung. Tiada sebarang kepentingan lain yang diambil kira melainkan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemilik dan pewaris tanah.
Kerajaan Persekutuan semasa membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 menyatakan bahawa pembangunan yang akan dilakukan di Kg. Bharu hanya akan diteruskan sekiranya pemilik dan pewaris tanah bersetuju. Kenyataan ini sekali lagi dibuat oleh Menterinya kepada wartawan seperti yang disiarkan di dalam Akhbar Berita Harian pada 20 Januari 2012. Kenyataan tersebut agak pelik dan aneh kerana jika pembangunan hanya akan dilakukan dengan persetujuan pemilik dan pewaris tanah, kenapa perlu tergesa-gesa diluluskan suatu undang-undang? Jika hanya dengan persetujuan pemilik dan pewaris tanah, pembangunan dilakukan, kenapa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu yang mempunyai kuasa-kuasa pentadbiran ke atas tanah Kg. Bharu milik persendirian. Kuasa-kuasa dan fungsi Perbadanan yang bersifat komersial telah diluluskan melalui rang undang-undang tersebut.
Perlu diambil perhatian bahawa tanah Kg. Bharu adalah tanah persendirian, bukan tanah milik kerajaan sehingga kerajaan dengan sewenang-wenang menggubal undang-undang untuk mengurus hak milik orang lain. Adakah dengan penggubalan dan kelulusan undang-undang ini, bermaksud semua tanah di Kg. Bharu tertakluk di bawah undang-undang ini sehingga pemilik dan pewaris tidak boleh menggunakan hak-hak mereka?
Jika benar ikhlas untuk membantu pemilik dan pewaris tanah kenapa perlu dikesampingkan idea-idea dan buah fikiran pihak lain yang juga ingin membantu pemilik dan pewaris tanah? Kenyataan Raja Nong Chik yang disiarkan oleh Berita Harian tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa beliau dan Kerajaan Persekutuan hanya memikirkan kepentingan politik mereka melebihi kepentingan hak pemilik dan pewaris tanah. Rata-rata pemilik dan pewaris tanah membicarakan soal status hak milik mereka dan hala tuju pembangunan yang akan dilaksanakan tetapi Menteri lebih berminat bercakap hal politik sehingga mengeluarkan kenyataan politik meminta Menteri Besar Selangor menumpukan soal politik di Selangor melebihi soal pembangunan Kg. Bharu dan hak pemilik tanah.
Jika ikhlas dan tiada sebarang unsur politik di dalam pembangunan Kg. Bharu, kenapa tidak bersama berbincang kaedah terbaik untuk membangunkan bersama. Adakah hanya Kerajaan Persekutuan sahaja yang mengetahui segalanya? Jangan terlalu angkuh dan bongkak mengatur hak orang lain. Kenapa perlu takut dengan cadangan pihak lain yang sama-sama inginkan suatu pembangunan bersama yang menjamin hak pemilik dan pewaris tanah?
Adakah pembangunan Kg. Bharu ini adalah demi kelangsungan kepentingan politik Menteri dan parti yang diwakilinya? Jawapannya terbentang luas di depan mata. Kenyataan Raja Nong Chik di atas menjelaskan segalanya!
Pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu, PERTAHANKAN HAK ANDA!
*Kenyataan media oleh Ahmad Zamry Asaad Khuzaimi (gambar kiri) selaku Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan